PEMANDU kereta api akan meneruskan mogok yang ditangguhkan bulan depan, susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II, kata sumber kepada AFP pada Jumaat.
Pemandu bagi 12 pengendali kereta api akan mengadakan protes pada 1 dan 5 Oktober, menjejaskan perjalanan pergi dan balik dari persidangan parti tahunan parti Konservatif, yang diketuai perdana menteri Britain baharu, Liz Truss, kata sumber itu.
Kesatuan pemandu Aslef tidak dijangka mengesahkan tarikh baharu tindakan industrinya sehingga selepas pemakaman ratu pada Isnin.
Mogok sehari yang dirancang oleh pemandu minggu ini sudah dibatalkan.
Puluhan ribu pekerja merentasi pelbagai sektor melancarkan mogok di seluruh Britain sejak musim panas ketika inflasi yang tinggi selama beberapa dekad menjejaskan pendapatan.
Bagaimanapun, kesatuan kereta api dan pekerja pos lain turut menangguhkan tindakan mogok selepas kemangkatan ratu.
Tindakan baru-baru ini diketuai sektor rel, yang melakukan mogok terbesar dalam tempoh lebih 30 tahun.
Beberapa cadangan mogok bukan kereta api dihentikan selepas kesatuan sekerja dan syarikat bersetuju dengan perjanjian gaji pada jam kesebelas.
Tetapi langkah protes masih diteruskan oleh kakitangan gudang Amazon dan peguam jenayah dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Sementara itu, guru dan pekerja kesihatan membayangkan kemungkinan mogok sekiranya mereka tidak menerima tawaran gaji baharu yang dianggap boleh diterima.
Pada Selasa, diumumkan pekerja di pelabuhan kontena terbesar Britain, Felixstowe, akan mogok selama lapan hari lagi.
Mogok dari 27 September hingga awal 5 Oktober itu berlaku selepas protes awal musim panas selama lapan hari di pelabuhan di timur England. – AFP, 17 September, 2022.
Komen