Kenderaan exco Johor disaman potong barisan


KENDERAAN yang dikhaskan untuk kegunaan pengerusi jawatankuasa kesihatan dan perpaduan negeri Johor Ling Tian Soon hari ini dikenakan tindakan saman kerana memotong barisan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Ismail Dollah berkata, pemandu kenderaan warna hitam jenis Toyota Camry bernombor pendaftaran JDT 9 itu dipanggil pada jam 3.30 petang tadi atas kesalahan itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima video tular mengenai kejadian itu pada jam 11 malam Rabu lalu.

“Siasatan yang dijalankan mendapati kesalahan itu berlaku di Jalan Tongkang Pechah pada jam 9.45 pagi, Isnin lalu.

“Hasil semakan mendapati kenderaan itu milik Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang dikhaskan penggunaan kepada Yang Berhormat Ling Tian Soon, Ahli Dewan Undangan Negeri Yong Peng,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 6(1) LN 166/59).

Terdahulu, video berdurasi 24 saat memaparkan tindakan sebuah kereta milik exco kerajaan negeri yang menggunakan laluan kecemasan ketika keadaan jalan sesak dipercayai di Tongkang Pechah tular di media sosial. – Bernama, 16 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen