Zaid Ibrahim kembali bersama Umno


Elill Easwaran

Zaid Ibrahim mengemukakan permohonannya untuk menyertai semula Umno pada 27 Ogos di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2022.

ZAID Ibrahim menyertai semula Umno kerana mahu melakukan reformasi ke atas parti itu dari dalam, lapor The Star.

Peguam kanan itu mengemukakan permohonannya pada 27 Ogos di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur.

“Saya ingin melihat Umno lebih berfikiran reformasi dan lebih terbuka kepada pembaharuan di mana ia mesti dilakukan dari ‘dalam’,” katanya dipetik portal berita itu.

Zaid mula menyertai Umno pada 2000 di mana beliau bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu ketika Pilihan Raya Umum 2004.

Zaid juga berkata rakan-rakannya memberitahu agak sukar untuk membuat perubahan dalam Umno jika ia datang dari “luar”.

“Akhirnya, saya rasa lebih baik saya bersama Umno walaupun reformasi itu mungkin mengambil masa yang lama.

Zaid meletak jawatan daripada kabinet bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 untuk membantah penahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Beliau menyertai PKR pada tahun berikutnya, sebelum meletak jawatan pada 2012 di tengah-tengah perbalahan parti.

Zaid kemudiannya menubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) pada 2010 tetapi meletak jawatan sebagai ketuanya pada 2012.

Selepas Kita, Zaid menyertai DAP pada 2017 tetapi ia hanya bertahan selama kira-kira tiga tahun, dan beliau meninggalkan parti politik keempatnya pada 2020.

Pada Julai lalu, Zaid juga dilantik bekas perdana menteri Najib Razak untuk mewakilinya pada rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, hanya beberapa hari sebelum Najib dipenjarakan, dia memecat firma guaman Zaid untuk mewakilinya. – 16 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen