9 maut, 20 cedera dalam rempuhan di Guatemala


Mangsa dilaporkan terperangkap ketika ribuan pengunjung bersesak-sesak cuba meninggalkan kawasan terbuka tersebut pada penghujung konsert hari kemerdekaan di Guatemala semalam. – Gambar EPA, 16 September, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA sembilan orang maut dan 20 yang lain cedera dalam satu rempuhan selepas konsert hari kemerdekaan di Guatemala semalam, kata pasukan penyelamat.

Menurut pasukan penyelamat di Twitter, “pasukan Palang Merah Guatemala dan anggota bomba sukarela berjaya menyelamatkan lebih 20 orang yang cedera manakala sembilan lagi didapati maut di tempat kejadian” di bandar Quetzaltenango.

Akhbar tempatan melaporkan mangsa terperangkap ketika ribuan pengunjung bersesak-sesak cuba meninggalkan kawasan terbuka tersebut pada penghujung konsert semasa perayaan tradisional “Xelafer”, kira-kira 200 kilometer di barat Guatemala.

Pengunjung yang menghadiri acara itu “tidak menyedari orang ramai berhimpit kerana hari sudah gelap”, kata penduduk Monica Gonzalez kepada AFP.

“Mereka mula bergaduh sesama sendiri, menolak antara satu sama lain lalu jatuh dan ketika itulah semuanya berlaku.”

Seorang lagi saksi, Luis Carrion, memberitahu AFP beliau melihat orang ramai tolak menolak dan jatuh ke lantai sebelum mereka dipijak pengunjung lain yang meninggalkan tempat itu.

“Ramai menjadi mangsa, mereka yang menganjurkan acara itu perlu bertanggungjawab ke atas kejadian ini.”

Jurucakap Palang Merah Andres Lemus berkata mangsa yang cedera dibawa ke hospital tempatan.

Katanya, mangsa yang maut mengalami “pelbagai trauma.”

Jurucakap kementerian awam Moises Ortiz memberitahu AFP pihak pendakwa mula mengumpul maklumat untuk siasatan ini, manakala institut sains forensik negara mengaktifkan empat bilik mayat untuk menjalankan bedah siasat. – AFP, 16 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen