Mengapa pemimpin korup masih dipilih?


FITRAH membuktikan manusia suka kepada kebaikan serta berusaha memilih orang yang baik dan bersih dari salah laku untuk menjadi pemimpin, mentadbir, membangunkan ekonomi menjulang negara ke seantero dunia.

Tetapi realiti yang berlaku dalam kancah politik seringkali sebaliknya. Sebahagian besar di beberapa negara membangun atau di negara demokrasi, rakyat memilih dan mengangkat semula ahli politik yang disyaki terlibat dengan amalan rasuah, malah yang telah jelas terbukti bersalah.

Sebagaimana Tunisia yang boleh dijadikan contoh berikutan calon dalam pilihan raya presiden negara itu pada 2019 lalu, Nabil Karoui menerima peratusan undi kedua tertinggi, walaupun berada di penjara sementara menunggu siasatan kes rasuah kewangan.

Mengapakah sebilangan besar rakyat Tunisia memilih Karoui dan bukannya yang lain, walaupun terdapat bukti-bukti rasuah di sekelilingnya?

Adakah Tunisia satu-satunya negara demokrasi di mana seorang yang dituduh rasuah mencapai kepada pusingan kedua pilihan raya presiden dan kembali berkuasa? Jawapannya tidak.

Menerusi sejarah, ia adalah tragedi yang berulang menurut banyak kajian dan penyelidikan akademik yang menangani kajian kes yang sedemikian.

Kajian itu dijalankan untuk memahami mengapa masyarakat terutamanya di negara demokrasi, terus memilih semula mereka yang disyaki rasuah kewangan sebagai pemimpin.

Ini menyentuh soal masyarakat yang negaranya mengamalkan demokrasi dan bukannya mengenai kuasa diktator atau penyalahgunaan yang mana undi dibeli dan keputusan dipalsukan.

Persoalan yang wajar dirungkai, mengapa masyarakat secara sedar masih memilih orang yang korup untuk terus berkuasa? Tentunya terdapat beberapa faktor yang menyebabkan semua itu terjadi.

Pengaruh media

Orang ramai biasanya mengetahui tentang rasuah kewangan seseorang atau pihak dalam dua cara, secara langsung atau tidak langsung.

Seseorang mungkin terdedah kepada percubaan peras ugut kewangan oleh perasuah secara langsung mahupun secara individu, seperti memaksa seseorang itu membayar sebagai pertukaran untuk perkhidmatan, mengelak daripada tanggungjawab atau kaedah lain mengeksploitasi kewangan untuk kepentingan peribadi.

Sumber tidak langsung pula melalui perkara yang didengar dan tonton melalui pelbagai media, kempen propaganda, mahupun pertuduhan kehakiman.

Walaupun sumber langsung tidak dapat dipertikaikan, sumber tidak langsung terbuka kepada penafian, keraguan dan penolakan, yang mana situasi ini terjadi dalam kes Nabil Karoui.

Kedudukan Karoui amat berpengaruh dalam media Tunisia, Beliau pengasas media dan syarikat pengiklanan Karoui & Karoui pada tahun 2002 dan pemilik Nessma TV yang mendapat kemasyhuran dan tindakan susulan yang meluas selepas berlakunya revolusi pada 2011.

Beliau membenarkan penggunaan medianya untuk menafikan pertuduhan terhadapnya dan menumpukan perhatian untuk menjadi permainan politik sebelum parti saingan yang lain berusaha untuk menyingkirkannya sebagai pesaing yang kuat.

Ia dibantu oleh fakta bahawa beliau ditangkap hanya beberapa hari sebelum permulaan kempen pilihan raya, walaupun siasatan terhadap kes yang disabitkan terhadapnya telah bermula pada 2017.

Ini mendorong parti menggunakan media massa untuk membuat persepsi bahawa penahanannya atas dasar politik semata-mata, seterusnya mempersoalkan kebebasan badan kehakiman yang telus.

Dalam kes Karoui, berita tentang tuduhan rasuahnya disiarkan menjelang pilihan raya yang membara, menjadikan kesan maklumat sedemikian agak terhad untuk masyarakat yang tidak yakin.

Kesan itu barangkali terhad kerana tuduhan itu serius, lebih-lebih lagi apabila kes itu masih belum diputuskan badan kehakiman.

Penemuan sebegini menjelaskan bahawa keyakinan rakyat terhadap sumber maklumat mempunyai peranan yang besar dalam menentukan kesannya terhadap masyarakat.

Di Brazil, semasa pilihan raya majlis perbandaran 2008, laporan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah mengenai tahap rasuah kewangan di kalangan gabenor dan rakan sekutu mereka di pelbagai kawasan perbandaran.

Difahamkan bahawa stesen radio tempatan yang memperoleh kebolehpercayaan tinggi dalam kalangan pengundi menyiarkan keputusan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, menjadikan keputusan pilihan raya terjejas dengan sangat ketara.

Kajian statistik dijalankan pada masa itu dalam kes melibatkan dua gabenor dari dua wilayah berbeza.

Tanpa tuduhan rasuah, terbukti kebarangkalian gabenor dipilih semula untuk penggal kedua meningkat sebanyak 17% berbanding jika radio rasmi tempatan tidak menyiarkan hasil laporan itu.

Apabila laporan jawatankuasa bagi kes-kes di mana tuduhan rasuah kewangan yang telah dibuktikan itu disiarkan melalui radio, peluang gabenor untuk menang berkurangan secara mendadak.

Keputusannya dapat disimpulkan secara umum di beberapa negara Amerika Latin yang lain. Semuanya mengesahkan bahawa penyampaian maklumat tentang rasuah kewangan dari sumber yang dipercayai oleh masyarakat mempunyai kesan yang besar terhadap keputusan peti undi.

Kesedaran politik

Namun kehadiran dan capaian maklumat daripada sumber rasmi yang boleh dipercayai mungkin tidak mencukupi untuk menghalang orang ramai daripada memilih atau memilih semula individu yang dituduh melakukan rasuah.

Satu kajian telah dijalankan di Sepanyol pada tahun 2013 tentang sejauh mana orang mengabaikan rasuah seseorang pegawai jika orang itu dari parti yang sama dengan mereka.

Dapatan yang mengejutkan menunjukkan bahawa orang ramai cenderung untuk tidak mengendahkan rasuah calon parti yang dianggotai mereka.

Mereka juga menghakimi dengan berat mana-mana calon yang dituduh rasuah jika individu itu dari parti pembangkang.

Keadaan di banyak negara Arab dengan jelas menunjukkan ketepatan hasil kajian ini.

Antaranya kerana peningkatan sikap tidak bertoleransi dan perpecahan partisan masyarakat Arab sejak beberapa tahun lalu.

Selain itu, perpecahan masyarakat yang teruk disebabkan percanggahan arus sekular, Islam dan haluan kiri, menjadikan ahli setiap pihak menutup mata.

Ini tidak terhad kepada tahap dan suasana pilihan raya umum, malah di semua peringkat, termasuk pilihan raya parlimen, perbandaran dan juga kesatuan. Kepartian, ideologi, malah puak mengatasi tuduhan rasuah, pembaziran dan nepotisme.

Namun apabila kesedaran politik dan tahap kefahaman ahli parti semakin tinggi, semakin seimbang kedudukan mereka dalam isu rasuah berkaitan pemilihan pemimpin dan kecenderungannya ke arah penolakan dan menuntut akauntabiliti.

Rakyat sering mengabaikan tuduhan rasuah jika mereka mempercayai calon dari segi keupayaannya untuk memperbaiki keadaan ekonomi negaranya, lebih-lebih lagi tentang membangunkan demokrasi.

Ini biasanya berlaku melalui kecekapan seseorang itu dalam menguruskan perniagaan dan memiliki institusi besar yang berjaya atau sumbangannya kepada projek mega di peringkat negeri, atau sekiranya keadaan ekonomi telah pulih pada waktu pemerintahannya.

Ini dilakukan Nabil Karoui. Beliau melakukan kebajikan, mendekati orang miskin dan terpinggir serta berjanji memperbaiki keadaan mahupun menyelamatkan mereka daripada kemiskinan.

Semua ini mungkin merupakan sebahagian besar daripada kejayaan Karoui dalam memperoleh peratusan undi kedua tertinggi dalam pilihan raya presiden walaupun ia diselubungi syak wasangka.

Dalam satu lagi kajian ke atas hampir 600 juta orang dari 18 negara Latin, lebih 54% tidak mempunyai masalah untuk menyokong kerajaan diktator jika ia mahu menyelesaikan masalah ekonomi mereka.

40% lagi menganggap pertumbuhan ekonomi lebih penting berbanding demokrasi, manakala 42 peratus percaya bahawa kerajaan harus dianggap sebagai pihak berkuasa di atas undang-undang.

Dalam kajian serupa yang dijalankan pada tahun 2015 menunjukkan bahawa masyarakat sering membiarkan rasuah kewangan daripada kerajaan jika keadaan ekonomi baik, atau sekiranya mendapat manfaat daripada pemotongan cukai atau janji pembaharuan ekonomi.

Selain itu, ketiadaan alternatif bersih yang boleh mencapai kemajuan ekonomi itu memberi peluang parti atau calon yang korup untuk terus berkuasa.

Kebanyakan masyarakat memilih pemimpin yang rasuah kerana tidak ada pemimpin alternatif yang lebih bersih atau lebih berwibawa untuk bertanding dalam pilihan raya.

Dalam situasi  ini, orang ramai selalunya cenderung kepada pilihan yang paling tidak buruk, yang boleh mencapai kemajuan ekonomi terbaik tanpa menghiraukan kesan jangka panjang rasuah kewangan.

Elak nasib Tunisia

Tidak dinafikan bahawa rasuah kewangan membawa kesan buruk kepada negara. Selain kesannya terhadap keadaan ekonomi terutamanya dalam jangka masa panjang, ia menghalang pencapaian keadilan dalam pengagihan sumber, membawa kepada kadar kemiskinan yang tinggi dalam kalangan rakyat.

Di samping itu, ia mewujudkan suasana tidak percaya antara rakyat dan agensi kerajaan. Jika fakta ini kurang disedari atau diremehkan, ia antara faktor yang membawa kepada krisis ekonomi.

Sebagai contoh, krisis di Greece pada tahun 2008 yang menjejaskan seluruh dunia dan bertukar menjadi krisis global tanpa disangka. Kisahnya bermula dengan kemarahan rakyat terhadap perasuah yang dipilih semula, walaupun rasuah itu dibuktikan.

Krisis tersebut membawa kepada kemelesetan besar-besaran di Greece yang memberi impak besar kepada tahap ekonomi global secara keseluruhan.

Oleh yang demikian, tanggungjawab besar terletak pada parti, kesatuan, institusi media dan pelbagai institusi masyarakat sivil untuk membangkitkan kebimbangan mengenai fakta penting ini.

Seterusnya, mereka perlu berusaha meningkatkan tahap kesedaran politik dan menjelaskan akibat jangka masa panjang najis rasuah kepada rakyat untuk mencapai sebuah negara demokrasi yang berkesan.

Jangan sampai Malaysia mengalami sejarah pahit yang berlaku di Tunisia. Jadikanlah ia pengajaran. Hapuskan jenayah rasuah dengan sesungguhnya bagi menyelamatkan negara ini.

Ayuh, selamatkan Malaysia. – 16 September, 2022.

* Atriza Umar pegawai penyiaran dan komunikasi Pertubuhan Ikram Malaysia


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen