WANITA di Arab Saudi kini dibenarkan menyertai pasukan tentera apabila kerajaan negara itu terus melakukan pembaharuan demi pembaharuan dengan memberi lebih banyak akses kepada golongan tersebut untuk menyandang pelbagai jawatan dalam bidang yang sebelum ini dilarang, lapor agensi berita China Xinhua.
Wanita boleh memohon untuk mengisi jawatan sebagai anggota tentera di wilayah Riyadh, Makkah, Al-Qassim dan Madinah.
Pemohon perlu memenuhi syarat tertentu, termasuk rakyat Arab Saudi berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun dan memiliki diploma sekolah tinggi.
Di bawah sistem penjagaan kerajaan, wanita yang memohon untuk menyertai tentera perlu memiliki kediaman di wilayah yang sama dengan lokasi tempat kerja penjaga lelaki mereka, biasanya suami, bapa, saudara kandung atau anak lelaki.
Pengambilan tentera wanita adalah antara banyak perubahan yang dilakukan bagi memperkasa hak-hak wanita.
Golongan itu turut dibenarkan memandu kenderaan mulai bulan Jun tahun ini dan aplikasi yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan sudah bersiap sedia untuk mengambil pemandu wanita.
Bulan lepas, wanita di Arab Saudi dibenarkan menonton perlawanan bola sepak dan membuka perniagaan sendiri tanpa perlu mendapat keizinan saudara lelaki mereka.
Buat julung kalinya, pejabat pendakwa raya Arab Saudi juga akan mula merekrut penyiasat wanita.
Arab Saudi turut menyediakan 140 jawatan untuk diisi oleh wanita di lapangan terbang dan kawasan sempadan, satu langkah bersejarah yang menurut kerajaan telah berjaya menarik sejumlah 107,000 pemohon.
Bagaimanapun, aktivis hak asasi manusia berkata sistem penjagaan lelaki yang diskriminatif masih utuh, meskipun kerajaan Arab Saudi berikrar untuk menghapuskannya. – Bernama, 27 Februari, 2018.
Komen