Bahaya perundangan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022


SEJAK akhir-akhir ini, Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 (RUU Tembakau) hangat dibincangkan di Malaysia. Cadangan undang-undang kontroversi itu bertujuan untuk mengawal pengeluaran, penjualan, dan penggunaan “produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau” termasuk “larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana orang yang lahir pada 2007 dan seterusnya”.

Selepas meneliti kandungan RUU Tembakau, nampaknya beberapa peruntukan pada rang undang-undang itu menyentuh hak-hak yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan dengan cara yang sangat membimbangkan banyak pihak.

RUU Tembakau diketahui umum akan melarang mana-mana individu yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2007 daripada membeli, merokok, atau menggunakan produk tembakau dan peranti merokok.

Secara umumnya, ia dikenali sebagai peruntukan “pemutusan generasi” (GEG). Atas prinsip undang-undang, beberapa pihak menyuarakan kebimbangan tentang keabsahan peruntukan tersebut dari sudut perlembagaan.

Persoalan yang sering  menjadi tanda tanya ialah apakah peruntukan ini, yang selama-lamanya akan menyekat hak-hak mereka yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2007, tidak melanggar Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan serta perlindungan yang sama rata mengikut undang-undang serta Perkara 5 yang menjamin hak kebebasan diri.

Wajar diingat, Perkara 5(1) tidak memberikan hak kebebasan diri secara automatik dan mutlak kerana mengikut undang-undang, Perlembagaan Persekutuan membenarkan sekatan ke atas kebebasan diri setakat yang munasabah dan tidak sewenang-wenangnya.

Suatu undang-undang yang diluluskan di Parlimen dan dilaksanakan oleh cabang Eksekutif dianggap sah dan selari dengan Perlembagaan melainkan dan sehingga diputuskan sebaliknya oleh mahkamah. Mujur nampaknya tiada sebarang konflik perlembagaan antara RUU Tembakau dan Perkara 5.

Bagaimanapun, dalam mentafsir Perkara 8, mustahak untuk diketahui bahawa ia tidak memberi makna semua orang mesti dilayan sama rata sebaliknya undang-undang itu mestilah sama rata ke atas semua orang dalam keadaan yang sama.

Oleh itu, wajar kita mempersoalkan adakah penetapan had umur bagi sekatan merokok yang berpanjangan itu bersifat diskriminasi dan bertentangan dengan semangat Perkara 8.

Kerajaan berhak mengguna pakai umur sebagai satu kriteria klasifikasi mengikut undang-undang. Rakyat Malaysia umumnya mungkin sudah biasa dengan kriteria ini seperti had umur minimum untuk berkahwin, mengundi, tanggungjawab jenayah, dan kemampuan untuk membuat kontrak.

Walaupun Kerajaan mengenakan syarat umur bagi perkara-perkara yang dibolehkan ini, ia bersifat sekatan sementara dan bukan sekatan selama-lamanya seperti cadangan undang-undang berkenaan GEG.

Sekiranya dua orang yang dewasa cuba membeli dan menggunakan tembakau atau peranti merokok tetapi seorang daripada mereka dihalang seumur hidup dengan alasan lahir pada atau selepas 1 Januari 2007 sementara seorang lagi tidak dihalang kerana lahir pada 31 Disember 2006, adakah ini bertentangan dengan prinsip kesamarataan yang terpakai ke atas individu dalam “dalam keadaan yang sama”?

Ahli Parlimen Padang Rengas juga telah mengemukakan isu yang sama di Parlimen semasa perbahasan RUU Tembakau, berkenaan kebebasan memilih dan diskriminasi. Dengan memperkenalkan pemutusan generasi, Kerajaan pada hakikatnya memansuhkan kebebasan memilih daripada individu dewasa yang berumur 18 tahun pada 2025.

Inti pati pemutusan generasi boleh dihujahkan sebagai bersifat diskriminasi kerana ia menghalang satu generasi dewasa daripada melakukan apa yang boleh mereka dakwa sebagai kebebasan memilih sementara generasi dewasa yang lain tidak menghadapi sekatan yang sama.

Ini berbeza dengan cara Kerajaan mengawal penggunaan tembakau atau merokok dengan menambah cukai dan kawalan apabila kawalan itu terpakai sama rata ke atas semua individu dewasa. Sementara Kerajaan boleh mengawal tembakau dan merokok, kebebasan memilih terhadapnya perlu diberikan kepada setiap individu.

Dalam pada itu, peruntukan-peruntukan berkenaan penguatkuasaan RUU Tembakau mungkin adalah lebih mustahak lagi. Dalam bentuknya sekarang, undang-undang yang diusulkan itu memberi kuasa yang luas kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan akses kepada sebarang maklumat yang direkod atau data berkomputer, sama ada yang disimpan dalam sebuah komputer atau sebaliknya; masuk ke mana-mana premis, komersial atau sebaliknya, bagi menyiasat; menggeledah bagasi dan pakej; serta menggeledah dan merampas tanpa waran. 

Peruntukan-peruntukan ini menimbulkan isu-isu utama berkenaan ketidakseimbangan dan ancaman ke atas kebebasan sivil. Perlindungan hak kebebasan sivil merupakan asas Perlembagaan Persekutuan.

Saban tahun, rakyat Malaysia telah melihat bagaimana kebebasan ini perlahan-lahan terhakis apabila semakin banyak undang-undang memberikan kuasa yang lebih besar kepada agensi penguatkuasa untuk melanggar privasi seseorang, serta menceroboh masuk ke rumah atau ruang peribadi.

RUU Tembakau yang sedang digubal adalah satu lagi akta yang mengancam kebebasan sivil kerana kuasa sangat luas yang diberikan kepada Menteri Kesihatan dan pegawai yang diberi kuasa.

Sebagai contoh, Seksyen 26 menyebut, mana-mana pegawai yang diberi kuasa berhak untuk memasuki mana-mana premis pada bila-bila masa yang munasabah bagi tujuan penyiasatan. Jika seorang pegawai yang diberi kuasa itu menaruh syak bahawa sebuah tempat kediaman melanggar Akta, mereka berkuasa untuk masuk ke kediaman peribadi untuk menyiasat.

Selain itu, Seksyen 33 juga membenarkan geledah dan sita tanpa waran sekiranya pegawai berkenaan ada alasan munasabah untuk percaya kelengahan mendapatkan waran geledah akan menjejaskan penyiasatan. Hal ini sangat membimbangkan apabila kebebasan sivil rakyat Malaysia kini jadi taruhan dan terdedah kepada salah guna berdasarkan RUU Tembakau.

Mujurlah, kebimbangan-kebimbangan ini antara lainnya sudah disuarakan oleh Ahli Parlimen semasa sesi bacaan kedua RUU Tembakau pada 1 dan 2 Ogos 2022 di Dewan Rakyat. Selain itu, sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas yang baharu telah ditugaskan untuk menyemak RUU Tembakau.

Anggota jawatankuasa ini perlu mengambil peluang untuk memastikan satu semakan yang mendalam terhadap semua peruntukan bagi menentukan undang-undang itu cukup kuat dan tidak dapat dicabar dari segi keperlembagaannya serta penguatkuasaannya pada masa akan datang.

Sudah tentu bahagian penggubal di Pejabat Peguam Negara mungkin berpendapat peruntukan yang sama juga turut ada pada undang-undang lain berkenaan kuasa penguatkuasaan. Namun ketika rakyat merungut tentang salah guna kuasa oleh kakitangan awam, eloklah kuasa yang diberi mengikut undang-undang ini diperincikan dengan lebih berhati-hati.

Oleh sebab kebimbangan-kebimbangan itu sudah disuarakan, Menteri Kesihatan telah bersetuju untuk mengurangkan kadar denda bagi pelanggaran GEG dalam undang-undang itu daripada RM5,000 kepada RM500.

Beliau juga memperkenalkan hukuman khidmat masyarakat sebagai ganti kepada denda, selain membatalkan pemeriksaan badan bagi mereka yang berumur bawah 18 tahun serta tiada hukuman untuk pemilikan bagi semua kesalahan berkaitan GEG.

Tidak dapat dinafikan, ini adalah perkembangan yang positif. Namun, masih tiada pindaan yang diumumkan berkenaan kebimbangan-kebimbangan yang disuarakan oleh Ahli Parlimen dan orang ramai mengenai ketidakseimbangan dan keluasan kuasa yang diberikan kepada Menteri Kesihatan dan pegawai penguatkuasa seperti yang disebut di atas, mahupun tindakan semakan menyeluruh ke atas keperlembagaan GEG itu sendiri.

Walaupun RUU Tembakau mempunyai niat baik, kebimbangan terhadap potensi salah guna kuasa oleh pihak berkuasa di Malaysia bukanlah tidak berasas. Kuasa untuk menceroboh dan luas pada pihak berkuasa malangnya selama ini telah meninggalkan kesan yang buruk kepada jiwa rakyat Malaysia keseluruhannya.

Setiap satu kebimbangan ini mestilah diberikan pertimbangan yang sewajarnya semasa semakan semula RUU Tembakau.

Satu lagi peruntukan yang mungkin sukar dilaksanakan ialah Seksyen 21, yang memberi kuasa kepada Menteri untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa, atas nasihat ketua pengarah, sekiranya “terdapat situasi akut atau kritikal” berkenaan penggunaan tembakau dan sebagainya.

Sebagai peguam, saya tidak faham makna perkataan ini dalam konteks RUU Tembakau atau seksyen berkenaan secara khusus (melainkan saya terlepas sesuatu). Sekali lagi, kuasa yang diberikan melalui peruntukan ini boleh disalah guna.

Penggubalnya mesti cuba mentakrifkan perkataan-perkataan ini atau memberikan contoh keadaan tertentu sebagai panduan untuk Menteri dan ketua pengarah menguatkuasakan Seksyen 21.

Penggubal undang-undang yang bertanggungjawab mesti berhati-hati untuk hanya memberikan kuasa mutlak yang perlu, kepada pihak berkuasa dan pegawai, bagi mencapai matlamat RUU Tembakau.

Kita menyanjung tinggi kesungguhan Menteri untuk suatu hari nanti membanteras sepenuhnya tabiat merokok, tabiat yang asalnya dimulakan oleh Orang Asli Amerika. Namun, kita juga perlu memastikan dalam kehendak kita untuk mencapai tujuan itu, generasi masa hadapan tidak akan menyesali keputusan yang kita buat pada hari ini.– 14 September, 2022.


* Tun Zaki Tun Azmi, peguam yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara (2008-2011).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen