Mahkamah Thailand tentukan nasib PM dalam dua minggu


Di bawah Perlembagaan Thailand 2017, penggal perdana menteri tidak boleh lebih lapan tahun, namun terdapat tanda tanya bila sebenarnya penggal Prayut Chan-O-Cha bermula, selepas rampasan kuasa pada 2014 atau selepas Perlembagaan 2017 digubal. – Gambar EPA, 14 September, 2022.

MAHKAMAH Perlembagaan Thailand pada Rabu berkata ia akan memutuskan pada 30 September sama ada perdana menteri yang digantung Prayut Chan-O-Cha perlu dibuang daripada jawatan selama-lamanya.

Bekas ketua tentera itu, yang berkuasa dalam rampasan kuasa tentera 2014, digantung tugas bulan lalu sementara mahkamah meneliti cabaran undang-undang dengan alasan beliau telah mencapai had penggal sebagai perdana menteri.

Di bawah Perlembagaan Thailand 2017, seorang perdana menteri tidak boleh berkhidmat lebih lapan tahun, tetapi terdapat tanda tanya bila sebenarnya penggal Prayut bermula.

Mahkamah berkata dalam satu kenyataan ia akan mengeluarkan keputusannya pada 30 September jam 3 petang waktu tempatan.

“Mahkamah Perlembagaan mempertimbangkan kes itu adalah isu undang-undang dan terdapat bukti yang mencukupi untuk memutuskan,” kata kenyataan itu.

Timbalan Prayut Wongsuwan telah mengambil alih sebagai perdana menteri sementara, manakala Prayut terus berkhidmat sebagai menteri pertahanan.

Prayut melancarkan rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan Yingluck Shinawatra yang dipilih secara demokrasi, dan mengetuai rejim junta sebelum mengekalkan jawatan perdana menteri selepas pilihan raya pada 2019.

Penyokong pemimpin berusia 68 tahun itu berpendapat masa penggalnya bermula apabila perlembagaan 2017 digubal, atau selepas pilihan raya umum 2019.

Jika mahkamah bersetuju, Prayut secara teknikal boleh terus berkhidmat sehingga 2025 atau 2027 - jika beliau memenangi pilihan raya umum yang dijangka menjelang Mac.

Tetapi Prayut semakin tidak disukai pengundi dan di bawah kuasanya kerajaan itu mencatatkan prestasi ekonomi terburuk sejak tiga dekad.

Protes prodemokrasi yang diketuai oleh pelajar di Bangkok pada 2020 menarik puluhan ribu orang pada kemuncaknya dan tuntutan utama pergerakan itu supaya Prayut letak jawatan.

Thailand berada dalam tekanan untuk menamatkan ketidaktentuan mengenai kepimpinannya sebelum pemimpin dunia tiba di Bangkok untuk sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November. – AFP, 14 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen