GPS mula gerak jentera persediaan hadapi PRU15


Desmond Davidson

GPS akan mula menggerakkan jentera pilihan raya setiap parti komponen sebagai persediaan menghadapi PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2022.

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS), gabungan parti pemerintah negeri kini mula melakukan persiapan untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU), kali pertama berganding sebagai sebuah pakatan.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata majlis tertinggi GPS dalam satu mesyuarat malam tadi bersetuju untuk semua parti komponen mula menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing untuk membina jentera GPS.

Empat parti komponen itu ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Abang Johari yang tidak mengesahkan sama ada PRU akan diadakan tahun ini atau tidak, bagaimanapun berkata GPS perlu bersedia lebih awal walaupun tidak tahu bila tarikh PRU15.

GPS dijangka akan bertanding di semua 31 kerusi Parlimen di negeri itu dengan agihan kerusi kekal seperti pada PRU 2018 – PBB 14 kerusi, SUPP (7), PRS (6) dan PDP (4).

Sebelum ini, empat parti itu berada dalam Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Mereka kemudian keluar daripada gabungan itu untuk menubuhkan gabungan berasaskan negeri.

BN Sarawak yang hanya menang 19 kerusi, terjejas teruk terutama di kerusi Dayak di kawasan luar bandar.

Sarawak akan hanya bertanding untuk kerusi Parlimen pada PRU kerana ia mengadakan pilihan raya negeri (PRN) pada Disember tahun lalu.

Dengan GPS kini menang majoriti besar pada PRN 2021 – menawan 76 daripada 82 kerusi – kepimpinannya yakin ia akan dapat mengulang kejayaan pencapaian itu pada PRU15. – 14 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen