TUJUH tentera Yaman maut pada Isnin apabila serangan udara pimpinan Arab Saudi, yang menyasarkan pemberontak Houthi tersalah tembak, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sumber tentera.
Sumber itu yang enggan namanya disiarkan berkata, serangan tersebut telah terkena tentera pakatan antarabangsa yang dibantu oleh kerajaan Yaman di daerah Nihm berhampiran ibu kota Sanaa.
Insiden itu turut menyaksikan 20 lagi cedera, termasuk pegawai tentera berpangkat tinggi yang menyelia serangan terhadap pemberontak Houthi yang dibantu Iran, katanya.
Sementara itu, seorang komander tentera memaklumkan Xinhua melalui telefon bahawa “sebuah pesawat pasukan pimpinan Arab Saudi telah menembak beberapa peluru berpandu yang secara tidak sengaja telah membunuh beberapa anggota pasukan tentera darat kami.
“Ini adalah kes tersilap sasaran. Kami mendesak pejabat presiden menjalankan siasatan berhubung insiden ini,” kata beliau yang enggan identitinya didedahkan.
Sumber yang rapat dengan kerajaan Yaman pula berkata “mungkin koordinasi tidak dilakukan dengan betul. Jadi, serangan udara pimpinan Arab Saudi telah menyasarkan pasukan sendiri. Kami masih tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.”
Tentera pakatan pimpinan Arab Saudi telah melakukan serangan udara serupa yang juga tersalah tembak dan menyebabkan berpuluh-puluh anggota tentera yang setia kepada Presiden Yaman, Abdu-Rabbu Mansour Hadi, terbunuh.
Kerajaan Yaman yang bersekutu dengan tentera pakatan pimpinan Arab Saudi, telah bertempur dengan pemberontak Houthi Syiah selama kira-kira tiga tahun.
Pakatan itu telah memulakan kempen serangan udara pada Mac 2015 untuk menewaskan pemberontak Houthi dan mengembalikan semula kuasa kepada Mansour Hadi yang dibuang negeri.
Mereka turut mengenakan sekatan udara dan laut bagi menghalang senjata daripada sampai ke tangan pemberontak Houthi, yang telah menyerang Sanaa serta merampas kebanyakan wilayah di bahagian utara.
Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan bahawa lebih 10,000 orang, kebanyakannya orang awam, telah terbunuh sejak pakatan itu campur tangan dalam perang saudara di Yaman yang turut menyebabkan kira-kira tiga juta penduduk tersingkir.
Yaman juga sedang berdepan epidemik kolera terbesar di dunia dengan kira-kira 5,000 kes dilaporkan setiap hari. – Bernama, 27 Februari, 2018.
Komen