Warga emas, golongan berisiko tinggi disaran ambil vaksin influenza


Raevathi Supramaniam

Pakar kesihatan berkata vaksin influenza terbukti selamat dan boleh digunakan untuk semua peringkat umur. – Gambar EPA, 13 September, 2022.

WARGA emas dan golongan berisiko tinggi disarankan supaya mengambil suntikan vaksin influenza setiap tahun untuk mencegah penyakit dan komplikasi yang boleh membawa maut, kata pakar kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata vaksin influenza terbukti selamat dan boleh didapati di klinik dan hospital seluruh negara, serta boleh digunakan untuk semua peringkat umur termasuk kanak-kanak berusia seawal enam bulan.

Influenza adalah penyakit berjangkit yang menyebabkan jangkitan kepada salur pernafasan iaitu hidung, tekak dan paru-paru. Jangkitan influenza kebiasannya meningkat pada hujung tahun hingga ke beberapa bulan pertama tahun berikutnya.

“Influenza boleh membawa maut.

“Malangnya, penyakit ini kurang diberi perhatian walaupun ia boleh menyebabkan komplikasi dan kematian terutamanya dalam kalangan warga emas,” kata Azrul kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, Pakar kesihatan awam (epidemiologi dan biostatistik) Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman berkata data menunjukkan influenza biasanya menyerang kanak-kanak, warga emas dan golongan yang mempunyai sistem imun yang lemah dan pesakit komorbiditi.

“Di negara beriklim sederhana influenza dikaitkan dengan cuaca sejuk seperti musim sejuk.

“Oleh itu, golongan berisiko tinggi dinasihatkan supaya mengambil suntikan vaksin influenza setiap tahun,” katanya.

Mengulas isu sama, seorang lagi pakar kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar berkata mereka yang berkemampuan turut digalakkan agar mendapatkan vaksin influenza.

“Jangkitan influenza biasa berlaku semasa musim sejuk di Eropah atau musim tengkujuh di negara kita.

“Tidak hanya individu yang berisiko, mereka yang berkemampuan juga digalakkan agar mendapatkan vaksin ini,” ujarnya.

Minggu lepas, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali dilapor berkata Kementerian Kesihatan akan memperhalusi cadangan untuk menawarkan vaksin influenza secara percuma kepada kumpulan berisiko tinggi termasuk warga emas seperti dilakukan negara lain.

Katanya ini kerana warga emas dijangka bertambah 14.3% iaitu seramai 5.2 juta orang pada 2030.

“Pertambahan jumlah warga emas akan menyebabkan penyakit kronik meningkat.

“Jika gaya hidup tidak sihat berterusan, dianggarkan orang ramai akan menghabiskan 9.5 tahun jangka hayat mereka dalam keadaan kesihatan yang buruk,” katanya. – 14 September, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen