Punca nahas helikopter di Bidor dalam siasatan, kata polis


Kawasan nahas di Bidor kini dikawal rapi, dan bangkai helikopter akan diserahkan kepada pemilik untuk tindakan selanjutnya selepas siasatan selesai. – Gambar Facebook, 13 September, 2022.

BIRO Siasatan Kemalangan Udara dan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan di kawasan kejadian helikopter Eurocopter EC120B yang terhempas di Hutan Simpan Chikus dekat Bidor pada Ahad, bagi mengenal pasti punca nahas mengorbankan juruterbang helikopter terbabit.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata justeru kawasan tersebut kini dikawal rapi bermula hari ini, dan bangkai helikopter ini kemudiannya akan diserahkan kepada pemilik untuk tindakan selanjutnya selepas siasatan selesai.

“Bedah siasat ke atas mangsa nahas dijalankan pada 9 pagi tadi di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya menerusi kenyataan.

Yusri berkata pihaknya dimaklumkan isteri mangsa masih berada di luar negara dan dijangka akan tiba dalam masa terdekat.

Media melaporkan mayat juruterbang, Tsz Kin Richard Chan, 58, warganegara Hong Kong ditemukan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di bahagian kokpit helikopter pada Isnin.

Pada Ahad, helikopter jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari, dengan lokasi terakhir dilaporkan di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi. – Bernama, 13 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen