Jangan pandang rendah pada ‘muka toya’ Ismail Sabri


KENYATAAN Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada hujung minggu lepas bahawa “Top 5 Umno” masih belum berbincang mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali lagi menunjukkan kecekapan politiknya dan bagaimana untuk “melengah-lengahkan” lagi pembubaran Parlimen.

Top 5 Umno merujuk kepada presiden Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden Mohamad Hasan serta tiga naib presiden iaitu Mohamed Khaled Nordin, Mahdzir Khalid dan perdana menteri sendiri.

Ismail Sabri tahu, membubarkan Parlimen pada ketika ini tidak akan menguntungkan dirinya memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah memberikan petunjuk kejadian “order lain, barang sampai lain” boleh berlaku juga selepas PRU15.

Ismail Sabri tidak mudah terpengaruh dengan keputusan Umno sebelum ini yang menamakan dirinya sebagai “poster boy” Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

Apatah lagi pada ketika ini beliau mempunyai sokongan kuat di Dewan Rakyat untuk terus berkuasa sehingga hujung penggal ini.

Pakatan Harapan (PH) secara terbuka menyokong Ismail Sabri untuk kekal sebagai perdana menteri sehingga hujung penggal.

Perikatan Nasional (PN) walaupun “tercalar” dengan tindakan Ismail Sabri yang tidak menunaikan janji melantik timbalan perdana menteri daripada Bersatu dan masih mengekalkan Zuraida Kamaruddin sebagai menteri menggunakan kuota parti itu juga sudah pasti akan menyokong perdana menteri berbanding “kluster mahkamah”.

Selepas bekas perdana menteri Najib Razak dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana didapati bersalah dalam kes SRC International, kluster mahkamah menjadi semakin lumpuh.

Dan perlahan-lahan sokongan terhadap kluster mahkamah dalam Umno menjadi semakin mengecil.

Diberitakan salah seorang naib presiden Umno yang sebelum ini menjadi “jurubicara” kluster mahkamah juga sudah beralih arah menyokong Ismail Sabri.

Semalam, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, supaya jurucakap Najib, Lokman Noor Adam dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnah perdana menteri di akaun media sosial.

Ini merupakan isyarat Ismail Sabri kepada penentang-penentangnya dalam Umno bahawa beliau tidak akan membiarkan fitnah-fitnah dilemparkan terhadapnya.

Ahmad Zahid sekarang berada dalam keadaan semakin tertekan. Pengaruhnya dalam Umno semakin mengendur.

Menarik sokongan terhadap Ismail Sabri sebagai perdana menteri? Berapa ahli Parlimen Umno mampu dibawa Ahmad Zahid ketika PH dan PN tidak bersamanya?

Menggulingkan Muhyiddin Yassin dahulu lebih mudah kerana beliau dari Bersatu dan Ahmad Zahid turut disokong PH.

Apa yang mampu dilakukan Ahmad Zahid sekarang? Pecat Ismail Sabri?

Bagaimana mahu memberikan justifikasi kepada ahli-ahli Umno untuk memecat perdana menteri dari partinya sendiri? – 13 September, 2022.

* Kamarul Khairy, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen