PM arah KKM beri rawatan terbaik kepada Najib


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga mendoakan semoga Najib Razak sembuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2022.

ISMAIL Sabri Yaakob hari ini mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan rawatan terbaik kepada bekas perdana menteri Najib Razak berikutan keadaan kesihatan yang dialaminya.

“Saya telah dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya telah mengarahkan KKM supaya memberikan rawatan terbaik yang diperlukan beliau. Saya doakan semoga beliau diberikan kesembuhan,” kata perdana menteri menerusi ciapan di Twitter rasminya hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan memaklumkan Najib dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) Jumaat lepas, sebagai kes elektif dan bukan kecemasan untuk memastikan kesihatannya berada pada tahap yang baik dan optimum.

Menurut Noor Hisham keadaan Najib adalah sihat sebelum dibenarkan discaj dari HKL, dan jenis-jenis ubat yang dipreskrib untuk Najib semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan KKM.

Perbicaraan kes Najib bagi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Tinggi hari ini dilaporkan telah disingkatkan, dan hakim bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan pada pukul 12.30 tengah hari bagi membolehkan Najib mendapatkan rawatan perubatan. – Bernama, 12 September, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen