Pakatan guna logo sama untuk PRU14


Radzi Razak Muzliza Mustafa

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berkata gabungan itu akan bertanding menggunakan satu bendera pada PRU14 susulan RoS masih belum meluluskan permohonan pendaftaran mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Februari, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) akan bertanding menggunakan satu bendera pada pilihan raya umum (PRU) akan datang selepas pendaftaran gabungan itu sehingga ini masih belum dapat kata putus daripada Pendaftar Persatuan (RoS).

Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan menggunakan logo sama itu dicapai pada mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.

Dr Mahathir berkata semua empat parti dalam PH – PKR, Bersatu, DAP dan Amanah menyatakan kesediaan bertanding menggunakan salah satu logo parti dalam gabungan itu.

“Kita boleh menggunakan logo atau simbol daripada empat parti kita… kecualilah RoS jadi pemurah.

“Mereka hingga kini takut dengan kita sehingga sampai sekarang tak luluskan pendaftaran (PH),” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden di Petaling Jaya hari ini.

Pakatan Harapan ditubuhkankan pada 2017 dan dianggotai parti Bersatu, PKR, Amanah dan DAP selepas gabungan pembangkang sebelum ini Pakatan Rakyat musnah apabila DAP dan PAS berseteru pada 2015.

Dalam konvensyen nasional pertama mereka awal tahun ini, pakatan itu menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya sekiranya pakatan itu menang pada pilihan raya umum akan datang. 

Ketua de facto PKR Anwar Ibrahim pula dicalonkan sebagai perdana menteri selepas Mahathir.

Pendaftaran Pakatan Harapan masih tidak mendapat sebarang maklum balas daripada RoS sejak tahun lalu.

Pada 22 Februari lalu, Bersatu yang dipengerusikan Dr Mahathir memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang RoS daripada membuat sebarang kenyataan terhadap parti itu.

Dr Mahathir berkata parti itu sekarang sedang menunggu keputusan injunksi berkenaan minggu ini.

“Kita akan terus ke Mahkamah pada Khamis ini dan harap mereka (Mahkamah) akan beri pandangan mengenai penentangan RoS terhadap kita,” kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir turut mengumumkan Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mengadakan sidang media setiap minggu untuk membentangkan perkembangan kepada media.

“Kita boleh beri penerangan kepada (media) setiap minggu dan juga menakutkan musuh kami,” kata beliau dengan sinis. – 27 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • RoS ini UMNO punya?

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan