Juruterbang helikopter terhempas maut, kata ketua polis Perak 


Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan kematian juruterbang helikopter yang terhempas di Bidor, Perak.– Gambar Facebook, 12 September, 2022.

JURUTERBANG helikopter yang terhempas malam tadi di Bidor, Perak ditemui mati di lokasi nahas, kata Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau berkata juruterbang terbabit - Kapten Richard Chan yang berusia 58 tahun - tidak sedarkan diri semasa misi menyelamat pagi ini dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Terdahulu Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata di Facebook pagi ini bahawa pasukan mencari dan menyelamat telah menemui juruterbang di lokasi nahas pada 8.20 pagi ketika misi menyelamat disambung semula pagi ini.

Beliau berkata juruterbang itu sedang dikeluarkan dari lokasi nahas untuk dihantar ke hospital di Ipoh.

Helikopter jenis Eurocopter EC120B milik persendirian itu telah berlepas dari lapangan terbang Subang pada 11.37 pagi semalam untuk penerbangan ke Ipoh, yang mana ia dijangka mendarat pada 12.37 tengah hari.

Hubungan terputus pada 12.16 tengah hari dan operasi menyelamat dilancarkan di selatan Perak.

Dalam catatan terbaharu di Facebook, Wee berkata juruterbang terbabit meninggal dunia akibat kecederaan yang teruk.

“Petunjuk awal menunjukkan mangsa masih hidup di lokasi nahas apabila ditemui pada jam 8.18 pagi.

“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri semasa pasukan penyelamat sedang menguruskan dalam misi menyelamat tersebut,” katanya. – 12 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen