KENAIKAN kadar Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar dalam dan luar negara tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang berkuat kuasa serta-merta akan meringankan beban pelajar tajaan agensi itu.
Pelajar Management & Science University (MSU) Nur Athirah Zahra Zakaria, 23, berkata kos sara hidup yang kian meningkat menyebabkan kadar ESH sebelum ini tidak mencukupi sehingga dia terpaksa meminta bantuan daripada ibu bapanya.
“Sebagai seorang pelajar yang duduk di bandar, kos sara diri agak mahal. Banyak yang perlu dibayar termasuk rumah sewa, utiliti, Internet, perbelanjaan harian dan sebagainya.
“Belum masuk bulan baharu, baki elaun tinggal lebih kurang RM200 hingga RM300 macam itu. Jadi saya memang kena cari duit lebih untuk tanggung kos sara hidup dan beli pelbagai barang untuk menyiapkan tugasan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Nur Athirah Zahra yang menuntut dalam jurusan Sarjana Muda Seni Reka Fesyen dan Pemasaran berkata untuk mencari ‘duit lebih’ dia terpaksa mengambil inisiatif seperti menjual lakaran seni reka fesyen kepada beberapa syarikat bagi menampung kos sara hidup.
Pelajar Sarjana Muda Seni Reka Fesyen dan Pemasaran MSU, Nursarah Hazwani Sharifuddin, 23, menyifatkan kenaikan kadar ESH sememangnya membantu pelajar sepertinya memandangkan penuntut jurusan seni reka fesyen memerlukan perbelanjaan besar dalam menyediakan barang keperluan pengajian.
“Jumlah elaun sebelum ini sejujurnya memang tidak cukup untuk menampung perbelanjaan harian. Setiap bulan, saya memerlukan RM450 untuk membayar sewa bilik, bil utiliti dan Internet serta caj tempat letak kereta. Ini belum termasuk perbelanjaan harian seperti makan dan minyak kereta.
“Oleh kerana kekangan jadual kelas yang padat, saya terpaksa mencuri masa untuk mencari pendapatan tambahan dan dalam masa yang sama menyelesaikan segala tugasan diberi pensyarah,” katanya.
Seorang penuntut Sarjana Muda Perubatan di International Medical University yang hanya mahu dikenali sebagai Fadzli pula berkata kenaikan ESH merupakan ‘berita’ baik berganda kepada dirinya yang baru sahaja menerima tawaran pengajian daripada Mara dua minggu lepas.
“Elaun itu (ESH) memberikan kesan yang amat positif kerana dapat mengurangkan beban dari segi kewangan dan dapat meningkatkan fokus saya terhadap pelajaran,” katanya.
Menurut Fadzli, tinggal di ibu negara memerlukan perbelanjaan besar dalam kehidupan seharian berbanding kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan.
Sementara itu, Badan Perhubungan Negara United Kingdom dan Eire (BPN UKE) dalam kenyataan semalam memaklumkan kenaikan kadar ESH amat bersesuaian dengan kos dan perbelanjaan sara hidup yang semakin tinggi di United Kingdom.
Menurut BPN UKE, keperluan penstrukturan semula kadar ESH yang sudah hampir 12 tahun tidak dikaji menunjukkan kepekaan dan perhatian kerajaan yang mendalam bagi memastikan kebajikan pelajar tajaan Mara di Malaysia mahupun di luar negara terus terjamin.
Sabtu lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kadar baharu ESH bagi pelajar dalam negara dinaikkan minimum RM650 sehingga maksimum RM950 sebulan bagi bidang pengajian bermula daripada peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah dan profesional.
Bagi pelajar luar negara pula, ESH dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksimum RM7,600 sebulan bermula daripada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga peringkat Doktor Falsafah dan peringkat profesional.– Bernama, 12 September, 2022.
Komen