Jawab fitnah dengan fakta di media sosial, kata pemimpin muda parti


Mohd Farhan Darwis

Ketua Angkatan Muda PKR Adam Adli berkata, ancaman itu juga tidak hanya terhad kepada anak muda tetapi turut melibatkan kebanyakan pengundi lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2022.

PEMIMPIN muda parti politik menjangka semakin banyak maklumat palsu akan disebarkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan hanya boleh ditangani dengan pembuktian dan fakta yang tepat.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, pengundi muda menjadi sasaran mudah penyebaran maklumat palsu di media sosial kerana platform itu menjadi rujukan maklumat utama kelompok ini.

Ketua Angkatan Muda PKR Adam Adli berkata, ancaman itu juga tidak hanya terhad kepada anak muda tetapi turut melibatkan kebanyakan pengundi lain.

“Ini fenomena yang wujud di mana-mana ruang masyarakat pun, tidak hanya terhad (kepada) anak muda.

“Zaman ini pun kita panggil sebagai zaman pasca-kebenaran, yang mana fakta dan hakikat yang terbukti pun tidak diyakini oleh masyarakat, dan kebenaran sentiasa dimanipulasi.

“Memandangkan anak muda adalah demografi utama media sosial, menjadikan kita lebih banyak terdedah dengan maklumat palsu ini,” kata bekas aktivis mahasiswa itu.

Katanya, sayap pemuda PKR itu antara lain akan memastikan setiap fitnah yang disebar mampu dijawab menggunakan fakta yang tepat sebagai strategi menangani maklumat palsu.

“Terutama sekali dalam tempoh berkempen, kita memang jangkakan akan berlaku peningkatan ketara penyebaran maklumat yang bakal diseleweng.

“Dalam politik, penyebaran maklumat palsu selalunya bertujuan memburukkan pihak lawan dengan fitnah dan perkara tidak benar, termasuk pembunuhan karakter,” kata Adam lagi.

Beliau mengulas hasil kajian badan pemikir Asia Centre yang mendapati pengundi muda negara ini terdedah kepada penyebaran maklumat palsu yang akan dipergiat menjelang PRU15.

Menurut kajian ini, pengundi tersebut menjadi sasaran utama parti politik berikutan pindaan perlembagaan yang menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan pada Mei itu menyaksikan pertambahan kira-kira 1.2 juta pemilih dari kelompok tersebut yang akan berdepan sebaran maklumat palsu yang memudaratkan.

Asia Centre menjangka, sebaran maklumat palsu itu berkaitan orientasi seksual dan pergaulan calon, rasuah, integriti, serta serangan terhadap ahli politik wanita dan campur tangan asing.

Exco Pemuda Umno Bastien Onn mengakui ia akan membebani parti yang akan menyertai PRU15. – Gambar Facebook, 12 September, 2022.

Ia turut menjadi kebimbangan Pemuda Umno yang menjangka ia bakal menjejaskan peluang parti politik sekiranya kumpulan pemilih muda itu termakan dengan laporan yang tidak tepat.

Exco Pemuda Umno Bastien Onn mengakui ia akan membebani parti yang akan menyertai PRU15.

“Jika mereka membuat pilihan yang silap kerana putar-belit fakta pihak yang terdesak untuk meraih undi mereka, maka ia akan mengganggu gugat keputusan PRU15 nanti.

“Sebab itu Umno dan Barisan Nasional (BN) sangat berhati-hati merapati mereka, janji-janji kita juga merupakan perkara yang boleh dilaksanakan dan berdiri di atas fakta,” katanya.

Ketika ditanya, ketua Pemuda Umno Segamat itu bagaimanapun enggan menuding jari ke atas penyebaran maklumat palsu sedemikian.

“Umno mengambil pendirian penyertaan pengundi 18 tahun ini sebagai satu tanggungjawab yang berat dan perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah serta berhati-hati.

“Baik kerajaan mahupun pembangkang, perlu ada rasa kebertanggungjawaban melaksanakan kempen mereka dan harus ada rasa malu menghambur fakta-fakta tipu daya bagi meraih undi anak-anak mereka,” katanya.

Ketua Penerangan Muda Luqman Long pula melihat parti yang sinonim dengan pengundi muda itu harus menguasai segenap ruang media sosial bagi menghadapi ancaman sebaran maklumat palsu.

Ketua Penerangan Muda Luqman Long mahu parti itu menguasai segenap ruang media sosial bagi menghadapi ancaman sebaran maklumat palsu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2022.

“Pastikan calon dan pemimpin Muda aktif membawa kempen Muda di media sosial. Masalah besar akan berlaku sekiranya Muda tidak menguasai platform media sosial dan diambil alih oleh parti yang banyak sebarkan berita palsu.

“Sebab itu kita serius apabila isu rakyat diangkat di media sosial supaya rakyat dapat maklumat terus dari platform Muda,” kata Luqman.

Muda juga melatih ahli dan pemimpin parti agar menjadi mesra di media sosial bagi membolehkan kehadiran mereka dirasai pengundi bukan sahaja melalui fizikal tetapi juga di alam maya.

“Muda harus berinovasi dalam interaksi dengan pengundi. Di zaman sekarang, maklumat memang mudah tersebar. Dalam masa beberapa minit sahaja, berita boleh tersebar ke seluruh negara.

“Sebab itu Muda kena cari jalan untuk berinovasi. Kita banyak buat modul latihan dan bengkel untuk semua ahli Muda supaya mereka boleh menjadi jadi social-media savvy. Kena buat.

“Semua platform perlu jadi lapangan untuk Muda, bukan setakat turun padang, tapi turun ke semua platform media sosial. Facebook, Twitter, Instagram, TikTok,” katanya.

Tambahnya, suka atau tidak, pertembungan idea khususnya melibatkan parti politik turut berlaku di alam maya dan Muda perlu sedia memastikan gelanggang media sosial mereka bebas berita palsu.

“Parti ini dibesarkan dalam media sosial kerana kita berdaftar dalam musim pandemik dan perintah kawalan pergerakan.

“Misi banjir, kempen daftar Muda, lawan kerajaan gagal Perikatan Nasional - semua ini kita gerakkan di media sosial dan Muda bersedia menjadi parti yang terkehadapan dalam melawan berita palsu di media sosial,” tegas Luqman. – 12 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen