POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang suspek lelaki warga tempatan mati mengejut dalam tahanan di Lokap Berpusat Shah Alam hari ini.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM Skandaguru Anandan berkata lelaki berusia 33 tahun itu suspek yang ditahan sejak 29 Julai lalu.
“Dia ditahan sementara siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.
“Pada jam 4.59 pagi tadi, suspek berkenaan ditemukan terbaring dan tidak sedarkan diri. Pihak hospital dihubungi bagi tujuan rawatan awal dan kira-kira jam 5.20 pagi, pegawai perubatan dari Hospital Shah Alam mengesahkan kematiannya,” menurut beliau dalam kenyataan malam ini.
Skandaguru berkata, suspek dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat yang dijadualkan esok.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes ini,” katanya. – Bernama, 11 September, 2022.
Komen