Wakil rakyat pertikai PM, menteri kewangan berdiam diri ringgit jatuh


Elill Easwaran

Pada Rabu, ringgit dibuka pada paras terendah berbanding dolar AS sejak krisis kewangan Asia pada 1998. – Gambar EPA, 11 September, 2022.

LIM Lip Eng mempersoalkan kenapa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz masih terus berdiam diri berhubung kejatuhan nilai ringgit minggu lalu.

“Ringgit pada masa ini berada pada paras paling rendah untuk pertama kalinya dalam tempoh 24 tahun, dan jika ini bukan krisis ekonomi, jadi apakah ia?,” kata ahli Parlimen Kepong itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata selepas penurunan mengejutkan dalam kadar tukaran wang asing, negara kini tidak boleh ditipu lagi.

“Sudah tiba masanya kerajaan ke depan dan beritahu kami adakah kita sekarang dalam keadaan kemelesetan ekonomi.

“Mereka juga perlu beritahu negara bagaimana hendak keluar dari keserabutan ekonomi ini, bukannya biarkan negara bergerak dalam mode ‘auto pilot’,” katanya.

Lim berkata kemerosotan ringgit akan pasti menyebabkan kenaikan harga barangan import; maka kadar inflasi juga akan melonjak naik.

“Ini akan menjejaskan kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Pandemik menjejaskan ramai kumpulan M40 dan menjadikan mereka ke paras B40.

“Ini sangat bahaya dan jika tiada langkah kukuh dilaksanakan, krisis ekonomi mungkin bertambah buruk,” katanya.

Pada Rabu, ringgit dibuka pada paras terendah berbanding dolar AS sejak krisis kewangan Asia pada 1998, di mana pelabur beralih ke kawasan lebih selamat akibat keadaan ekonomi global yang tidak tetap. – 11 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen