Jangan jadikan lebuh raya perkakas politik


MENURUT laporan Utusan Malaysia 22 Februari lalu, Najib Razak memberi gambaran kerajaan pimpinannya bersedia untuk memansuhkan lebih ba­nyak tol di jalan-jalan di negara ini pada masa depan.

Perdana menteri secara peri­badi mengakui beliau sendiri tidak suka kepada sistem bertol, menyifatkannya sebagai “menyakitkan hati” dan menyebabkan berlakunya kese­sakan lalu lintas.

Beliau berkata, disebabkan itu, dalam Bajet 2018, kerajaan membuat keputusan memansuhkan beberapa tol termasuklah tol Batu Tiga, Sungai Rasau, Bukit Kayu Hitam, Lebuh Raya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL), selain tol di Cheras yang dihapuskan sebelum itu.

“Saya tidak percaya kalau kita kenakan tol secara harian adalah baik kepada rakyat. Tidak, saya tidak percaya itu.

“Kalau Lebuh Raya Utara-Selatan, Kuala Lumpur ke Karak yang digunakan sekali sekali tidak apa. Kalau hari-hari bayar tol, dua kali, empat kali, siapa pun sakit hati,” katanya.

Saya tertanya-tanya apakah sebenarnya polisi atau dasar dalam penyediaan lebuh raya di Malaysia. Ini kerana saya perhatikan dasar ini berubah-ubah mengikut masa dan kehendak kerajaan.

Semasa pentadbiran Najib, beberapa lebuh raya telah diluluskan iaitu Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (Suke - jangka siap 2020), Damansara Shah Alam Elevated Expressway (Dash - jangka siap 2020), East Klang Valley Expressway (EKVE - jangka siap 2018), West Coast Expressway (WCE - jangka siap 2018) dan Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE - jangka siap 2020).

Saya juga masih ingat manifesto BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang menjanjikan penurunan kadar tol dalam bandar secara beransur-ansur.

Tetapi pada akhir 2015, kadar tol di sebanyak 18 lebuh raya dalam bandar dinaikkan secara mendadak antara RM0.20 hingga RM2.30. Ini semua ialah lebuh raya dalam bandar yang sekarang Najib kata sebagai menyakitkan hati.

Meskipun begitu, PM dikatakan tidak bercakap kosong apabila telah memansuhkan plaza tol di Batu Tiga, Sungai Rasau, Bukit Kayu Hitam dan Lebuh Raya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL). Mungkin ini yang dikatakan turun secara beransur-ansur. Mungkin ada lagi plaza tol yang akan tutup sebelum PRU.

Tetapi bukankah Najib sudah menjadi PM sejak 2009? Mengapa tol lebuh raya dalam bandar tidak dihapuskan atau dikajisemula untuk dikurangkan dalam masa itu?

Betul, turunkan kadar dan tutup plaza tol boleh meringankan beban rakyat dan wajar disambut baik tetapi pendekatan menutup beberapa tol dengan membayar pampasan kepada syarikat konsesi dan menambah tempoh perjanjian konsesi tol-tol PLUS yang lain umpama “kambus satu lubang besarkan lubang lain”. Ia seperti penyelesaian runcitan dan tidak menyeluruh.

Apa yang mungkin terjadi kepada kadar tol jika BN menang dalam PRU14? Hampir pasti BN akan membenarkan sekurang-kurangnya satu pusingan kenaikan kerana terdapat beberapa lebuh raya yang telah ditangguhkan kenaikan sedangkan perjanjian konsesi melayakkan mereka menaikkan kadar tol. Lebuh Raya Plus (NSE, NKVE, Elite, LPT) dan Kesas ialah antaranya. Dalam tempoh ini, kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada mereka.

Dengan tekanan kewangan negara sekarang, besar kemungkinan kerajaan tidak akan meneruskan bayaran pampasan. Ini bermakna kadar tol terjamin naik. Pengguna lebuh raya akan menanggung kosnya.

Ini yang menyebabkan saya tertanya-tanya apakah sebenarnya dasar lebuh raya negara. Bukankah asasnya terletak kepada memastikan rakyat mendapat manfaat dan capaian kepada prasarana asas seperti jalan raya yang selamat, terselenggara dan ditadbir urus dengan baik?

Bukankah asasnya terletak di atas tanggungjawab dan amanah kerajaan kepada rakyat?

Bukankah asasnya terletak di atas situasi menang-menang untuk kerajaan dan syarikat konsesi tanpa rakyat terbeban?

Pada pendapat saya, asas ini tidak boleh berubah-ubah dan wajib menjadi panduan. Namun pendekatan boleh berubah-ubah.

Tahukah kita terdapat lebuh raya utama yang telah dibina tanpa tol dalam keadaan kerajaan tidak mampu membinanya?

Pembinaan Lebuh Raya Persekutuan FT2 sebagai lebuh raya ekspres capaian terkawal pertama di Malaysia hasil naik taraf Jalan Kuala Lumpur-Klang FT2 sedia ada ialah lebuh raya percuma tanpa tol. Ia dibiayai secara berhutang kepada Bank Dunia semasa zaman Abdul Razak.

Justeru, meskipun sumber kewangan kerajaan terhad pada masa itu namun kaedah pembinaan secara berhutang (besar kemungkinan dengan kadar faedah yang rendah) telah digunakan agar tidak membebankan negara dan lebih penting lagi tidak membebankan rakyat.

Persoalannya, mengapa kaedah kutipan tol digunakan juga? Ia untuk membiayai projek-projek prasarana yang mana kerajaan tidak mampu membinanya kerana sumber kewangan yang terhad tetapi juga oleh kerana kos yang teramat tinggi maka kutipan tol dilaksanakan dengan perjanjian tertentu bersama syarikat yang sanggup membinanya.

Contohnya pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan E1/E2 sebagai lebuh raya bertol. Idea pembinaannya berakar-umbi pada tahun 1977 semasa zaman Hussein Onn lagi, sebelum era Dr Mahathir. Ia lebuh raya bertol disebabkan kosnya yang amat tinggi dan tidak tertanggung oleh kerajaan sekiranya kutipan tol tidak dilaksanakan.

Kisahnya, Hussein Onn menjemput banyak syarikat-syarikat besar dalam pembinaan jalan raya, tetapi tiada satu pun yang sudi menerima tawaran kerajaan untuk membinanya kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa itu serta tiada jaminan daripada kerajaan untuk melindungi mereka daripada kerugian sekiranya kadar tol tidak dinaikkan secara berkala. Inilah sebab utama yang membawa kepada “perjanjian konsesi berat sebelah” bagi syarikat-syarikat konsesi generasi pertama seperti Plus. Saya petik ini daripada Blog Jalan Raya Malaysia.

Dengan kata lain, lebuh raya bertol dibiayai oleh rakyat yang sanggup membayar lebuh raya premium supaya boleh memandu dengan selamat, selesa dan pantas. Ini boleh diterima bergantung kepada terma perjanjian yang seboleh mungkin terbaik untuk semua pihak, kerajaan, syarikat dan rakyat. Tidak berat sebelah.

Pada masa yang sama, kerajaan masih bertanggungjawab menyediakan laluan pilihan bebas tol untuk meringankan beban rakyat yang tidak berkemampuan terutamanya bagi penduduk tempatan yang terpaksa menggunakan laluan lebuh raya dalam bandar untuk urusan seharian seperti ke pasar dan menghantar anak ke sekolah.

Saya tahu mungkin ada pihak yang akan mengatakan cakap senanglah…cuba buat sendiri. Itu benar seperti kata pepatah hanya jauhari mengenal manikam.

Tetapi saya percaya ia boleh dilakukan jika ada pegangan dasar yang betul, meletakkan kepakaran pada tempatnya, penelitian segala terma perjanjian dengan telus, penyelesaian secara menyeluruh dan yang paling penting, keazaman politik untuk melaksanakan dasar, janji serta amanah.

Pertimbangan asas yang sentiasa perlu diambil ialah ia memberi manfaat kepada rakyat tanpa terlalu membebankan dan ia tidak memberi keuntungan melampau kepada syarikat konsesi lebuh raya. Ini tidak bermakna rakyat dimanjakan tetapi keadilan dan kebajikan rakyat wajib dijadikan panduan tanpa mengenepikan prasarana yang selamat, terselenggara dan ditadbir urus dengan baik.

Adakah ini pandangan yang ideal atau terlalu sempurna? Mungkin. Namun ia tidak mustahil sekiranya semua pihak dididik untuk mengenepikan kepentingan diri dan politik semata-mata, termasuklah rakyat.

Pakatan Harapan berpegang kepada prinsip bahawa monopoli konsesi yang dimiliki oleh syarikat kroni kerajaan perlu dihentikan.

Pakatan Harapan juga akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan terma serta harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan semua tol.

Mungkin kata-kata manis Najib baru-baru ini mempersonakan tetapi percayalah ia hanya angin lalu sebelum PRU. Hanya satu cara untuk menghentikan BN menjadikan tol sebagai perkakas iaitu dengan menukar kerajaan persekutuan kepada Pakatan Harapan dalam PRU14.  – 27 Februari, 2018.

*Syed Ibrahim Syed Noh ialah ketua penerangan PKR.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • kerajaan melakukan yang terbaik untuk rakyat,janji di tepati seperti apa yang berlaku pada PRU 13 yang lalu yang mana pakatan pembangkang berjanji untuk menghapuskan tol pada setiap negeri yang mereka menang dan akhirnya tinggal janji ,manifesto hanya terkubur setiap PRU yang mereka janjikan.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan