Kes murtad perlu didengar di mahkamah syariah, putus Mahkamah Persekutuan


Desmond Davidson

MAHKAMAH Persekutuan hari ini sebulat suara menolak permohonan empat orang Islam untuk keluar agama didengar di Mahkamah Tinggi selepas ia memutuskan Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan keluar agama (murtad).

Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin dalam penghakimannya di Kuching hari ini mengatakan walaupun tiada peruntukan dalam mahkamah syariah tetapi ada seksyen dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 yang boleh digunakan untuk mendengar kes keluar agama.

Panel lima hakim itu turut dianggotai oleh Ahmad Maarop, Hasan Lah, Ramly Ali dan Jeffrey Tan Kok Wha.

Penolakan permohonan itu bermakna empat pemohon- Salina Jau Abdullah, Jenny Peter, Mohd. Syafiq Abdullah @Tiong Choo Ting dan seorang wanita lahir Melayu Islam Syarifah Nooraffyzza Wan Hosen- perlu memohon kebenaran menukar agama di mahkamah syariah.

Zulkefli berkata rayuan itu tidak mempunyai merit apabila menolak pertanyaan perundangan dibawa oleh peguam pemohon, Baru Bian yang mengatakan Mahkamah Syariah Sarawak tidak mempunyai bidang kuasa dalam urusan murtad atau keluar agama kerana ia tidak dibaca bersama dengan Ordinan Mahkamah Syariah 2001, dan kerana itu tidak terdapat peruntukan bidang kuasa di bawah Ordinan Mahkamah Syariah 2001 berkenaan keluar Islam.

Kecuali Syarifah Nooraffyzza yang dilahirkan Islam tetapi masuk Krisitian secara sukarela, Salina, Jenny dan Tiong adalah mualaf yang masuk Islam kerana mahu berkahwin.

Salina yang berketurunan Kayan-Kenyah adalah penganut Kristian sebelum berkahwin dengan orang Melayu Islam, Shazali Saleh.

Dia menggunakan nama Islam, Salina Jau Abdullah tetapi selepas diceraikan suaminya, dia kembali mengamalkan ajaran agama Kristian.

Jenny yang menggunakan nama Islam, Nur Muzdhalifah Abdullah adalah orang Melanau dan penganut Krisitian sebelum masuk Islam untuk berkahwin dengan lelaki Melayu, Nazri Abdul Rahman.

Seperti Salina, perkahwinan Jenny juga berakhir dengan penceraian dan dia kembali mengamalkan agama Kristian selepas itu.

Tiong pula berketurunan campuran Cina-Bidayuh dan penganut Kristian yang masuk Islam untuk berkahwin dengan wanita Melayu-Islam, Siti Aishah Badahar.

Dia menggunakan nama Mohd Syafiq Abdullah. Selepas kematian isterinya, dia kembali mengamalkan ajaran Kristian.

Keempat-empat mereka pada 2015 memfailkan permohonan menamakan Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais), Majlis Agama Islam Sarawak dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebaga responden untuk semakan kehakiman bagi mendapatkan Perintah Mandamus mengisytiharkan mereka adalah penganut Kristian.

Perintah Mandamus adalah arahan mahkamah tertinggi bagi memaksa pengarah Jais atau Majlis Agama Islam Sarawak mengeluarkan “Surat Pembebasan” daripada Islam atau dikenali sebagai “Surat Murtad”. Perintah itu juga boleh digunakan bagi memaksa JPN mengugurkan agama Islam dalam rekod pengenalan diri mereka dan digantikan dengan Kristian.

Permohonan mereka dibantah oleh peguam cara responden yang berhujah mahkamah tinggi sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu kerana permohonan murtad adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah Sarawak.

Hujah itu adalah berdasarkan tafsiran Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dan ia disokong oleh tiga kes Mahkamah Persekutuan dan satu kes Mahkamah Agung.

Tetapi Baru berhujah yang mahkamah tinggi sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes murtad kerana Mahkamah Syariah Sarawak tidak “diberikan kuasa untuk menentukan kes murtad kerana Ordinan Mahkamah Syariah Sarawak 2001 tidak memberikan (ia kuasa) untuk ditangani di mahkamah syariah”.

Beliau memberikan bukti surat Mahkamah Syariah Kuching kepada empat pemohon yang mengatakan ia tidak mempunyai bidang kuasa dalam kes murtad.

Keempat-empat mereka berulang kali melakukan permohonan kepada JPN bagi mengubah nama Islam mereka dalam MyKad kepada nama bukan Islam mereka, Syariah Nooraffyzza juga membuat permohonan menukar nama kepada Vanessa Elizabeth.

Permohonan semua mereka ditolak kerana mereka tidak menyertakan “Surat Murtad” dari Jabatan Agama Islam Sarawak mengesahkan mereka bukan lagi penganut Islam. 

Surat Jabatan Islam Sarawak pula memaklumkan mereka yang Jais tidak mempunyai bidang kuasa di Sarawak untuk mengeluarkan “Surat Murtad” seperti diminta JPN.

Jabatan itu memberitahu keempat-empat mereka yang berdasarkan Ordinan Sarawak yang terpakai dan berkuat kuasa kepada Mahkamah Syariah Sarawak, tiada peruntukan yang memberikan kuasa kepada mahkamah syariah mengeluarkan “Surat Murtad”.

Kes itu menjadi tumpuan ramai, dengan organisasi Kristian seperti Persatuan Gereja Sarawak melantik peguam kanan Leonard Shim dan Libat Langub sebagai Amicus Curae ( rakan mahkamah) bagi memantau kepentingan mereka, Persatuan Dayak Iban Sarawak (Sadia) yang mewakili kumpulan etnik terbesar negeri, Gereja Methodist Malaysia, Felow Paderi Sarawak dan Persatuan Gereja Evangelikal Sarawak turut melantik peguam bagi memantau perkembangan kes itu. – 27 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • saya berharap tiada isu ini tidak di politikkan mcm menagguk di air yang keruh agar kesejahteraan negara ini dapat kita kekalkan ,biarlah diselesaikan cara yang berkhemah.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan