Indeks kos bahan binaan Ogos 2022 naik berbanding tahun lepas


Peningkatan IKB di Semenanjung Malaysia meningkat di antara 5.5 dan 18.0%, Sabah di antara 0.2 dan 15.3% dan Sarawak di antara 5.4 dan 22.0%. – Gambar AFP, 8 September, 2022.

INDEKS Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB), tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli, bagi semua kategori bangunan di Malaysia, pada Ogos 2022 meningkat antara 0.2 hingga 22.0% berbanding tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM). 

Ia berkata bagi tempoh yang sama, peningkatan IKB di Semenanjung Malaysia meningkat di antara 5.5 dan 18.0%, Sabah di antara 0.2 dan 15.3% dan Sarawak di antara 5.4 dan 22.0%.

Katanya perbandingan secara tahunan bagi tempoh Ogos 2022 dan setahun yang lepas menunjukkan peningkatan bagi IKB dengan bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Semenanjung Malaysia ialah bangunan lima tingkat dan lebih (konkrit bertetulang) (untuk pejabat) di Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Sabah ialah cerucuk konkrit bertetulang di Sandakan dan kerangka besi bangunan satu tingkat di Miri, Sarawak,” kata DoSM dalam laporan Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan, Malaysia Ogos 2022 hari ini. 

DoSM berkata IKB tanpa bar keluli meningkat di antara 5.5 dan 12.4% untuk semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia.

Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Semenanjung Malaysia ialah bangunan (konkrit bertetulang) lima tingkat dan lebih (untuk pejabat).

Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Sabah ialah kerangka besi satu tingkat (menara sahaja) di Sandakan. Sementara itu, IKB tanpa bar keluli tertinggi di Sarawak adalah kerangka besi satu tingkat (bangunan) di Miri.

Sementara itu, indeks harga seunit bahan binaan meningkat antara 5.0 hingga 13.3% pada Ogos 2022 berbanding setahun yang lepas.

Indeks harga bagi seunit bagi besi dan keratan keluli dan logam pula meningkat masing-masing 12.9% dan 11.4% bagi Ogos 2022 berbanding Ogos 2021.

Perbandingan bulanan mengikut bahan binaan dan kawasan terpilih pula menunjukkan penurunan indeks harga seunit bagi besi untuk semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Di samping itu penurunan indeks harga seunit bagi keratan keluli dan logam mencatatkan penurunan antara 0.2 hingga 3.4% bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Namun begitu, terdapat bahan binaan lain di beberapa kawasan yang kekal tidak berubah antaranya adalah batu baur bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia kecuali di Johor; konkrit sedia bancuh di semua kawasan di Sabah; pasir di Kuching dan Miri, Sarawak,” kata jabatan itu.

Purata harga seunit bar keluli yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan ‘Mycon 60 high tensile deformed bars’ meningkat 9.8% dengan mencatatkan harga purata RM3,778.71 setiap tan berbanding tahun sebelumnya (Ogos 2021: RM3,440.91 setiap tan).

“Sementara itu simen pula mencatatkan peningkatan sebanyak 11.2% iaitu RM20.95 setiap 50kg pada Ogos 2022 berbanding RM18.85 setiap 50kg pada Ogos 2021. Namun begitu, peningkatan harga bagi kedua-dua bahan ini adalah lebih perlahan berbanding Julai 2022,” kata DoSM. – Bernama, 8 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen