Lebih 30 terbunuh gempa di Papua New Guinea


Gempa 7.5 itu melanda awal pagi tadi, diikuti dengan dua gempa susulan berukuran 6.0 dan 6.5. Jumlah sebenar mangsa belum disahkan, tetapi lebih 30 dipercayai terbunuh. – Gambar AFP, 27 Februari, 2018.

LEBIH 30 orang dipercayai terkorban dalam sebuah gempa kuat melanda kawasan pergunungan di Papua New Guinea, kata laporan hari ini ketika pasukan menyelamat berusaha untuk sampai ke kawasan paling teruk dilanda itu.

Gempa berukuran 7.5 itu melanda selatan Porgera, 90 kilometer dari ibu kota negara itu, Enga awal pagi semalam, diikuti dengan dua lagi gempa kuat susulan.

Talian telefon terputus, tetapi akhbar PNG Post Courier memetik kenyataan pentadbir daerah Hela William Bando sebagai berkata ada mangsa terbunuh.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 13 terbunuh di daerah Mendi sementara 18 lagi dipercayai terbunuh di Kutubu dan Bosave.

Hampir 300 yang lain pula cedera, harta benda musnah dan ada laporan mengenai tanah runtuh dan mendap.

Portal Papua New Guinea Today memetik paderi Katolik Puis Hall menambah sekurang-kurangnya 10 mangsa pula termasuk empat kanak-kanak terkorban dalam tanah runtuh.

AFP tidak dapat mengesahkan jumlah korban sebenar.

Pasukan kerajaan dijangka terbang ke kawasan itu pada Selasa untuk mendapatkan gambaran lebih jelas kesan gempa, dan tentera sudah digerakkan ke kawasan itu untuk mengembalikan perkhidmatan dan infrastruktur, kata Ketua Setiausaha Isaac Lupari dalam satu kenyataan.

“Maklumat akan diberikan sebaik sahaja diperolehi daripada pasukan penilai di kawasan itu,” katanya lagi.

Pusat gempa itu sedalam 35 kilometer dan berlaku pada jam 3.45 pagi, kata pakar gempa AS, dengan gempa susulan berukuran 6.0 dan 6.3 direkodkan.

Kawasan itu adalah pusat pengeluaran minyak dan gas. ExxonMobil PNG mengatakan tapak gas mereka terjejas tetapi semua kakitangan selamat dan semua pekerja bukan operasi kritkal sudah dipindahkan.

Syarikat Australa, Oil Search pula mengatakan operasi di kawasan itu sudah ditutup dan penilaian kerosakan sedang dilakukan, dan mengatakan tiada pekerjanya cedera dalam gempa itu setakat ini.

Gempa sering kali berlaku di negara itu yang terletak atas Rantaian Api Pasifik, kawasan utama gempa dunia. – AFP, 27 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen