Bukan mudah untuk Muda masuk Pakatan, kata Adam Adli


Ketua AMK Adam Adli berkata banyak pertimbangan perlu diambil kira sebelum menerima Muda masuk PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2022.

TIADA jalan mudah untuk Muda menyertai Pakatan Harapan (PH), kata ketua sayap pemuda PKR Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli.

Katanya, ada banyak pertimbangan yang perlu diambil kira oleh PH sebelum menerima Muda masuk, termasuk pandangan sentimen ahli parti gabungan di akar umbi.

“Mana-mana parti politik dalam negara ini boleh menyatakan hasrat untuk sertai mana-mana gabungan politik yang wujud.

“Dalam konteks PH, keputusan tetap terletak pada Majlis Presiden PH yang hari ini dipengerusikan oleh DSAI.

“Banyak prasyarat yang perlu dipertimbang sebelum keputusan dicapai. Banyak laluan yang perlu ditempuh selain Majlis Presiden,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, malam tadi.

Menurut Adam, setakat ini belum ada lagi sebarang perbincangan khusus di peringkat AMK atau PKR, malah di peringkat Majlis Presiden PH pun, mengenai hasrat Muda untuk menyertai gabungan.

PH kini dianggotai PKR, Amanah, DAP, dan Upko.

Kelmarin, selepas persidangan dua hari mengenai pilihan raya, Muda mengumumkan hasrat untuk menyertai PH dan menyatakan kesediaan untuk berbincang secara rasmi dengan pimpinan gabungan itu.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata cadangan untuk menyertai PH sebenarnya sudah timbul sejak selepas Pilihan Raya Negeri Johor. 

Menurut Adam, sentimen akar umbi PKR negatif terhadap Muda susulan pengalaman dalam dua pilihan raya negeri sebelum ini iaitu di Melaka dan Johor. Beliau menyebut antaranya soal pertembungan demografi anak muda dalam PKR dan Muda.

“Rata-rata akar umbi dan pimpinan AMK serta PKR dilihat tidak senang dengan perkembangan ini, dan ia adalah berasas,” katanya.

Adam juga berpendapat Muda tergesa-gesa apabila mengumumkan hasrat menyertai PH bersekali dengan jumlah kerusi yang mahu ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Muda perlu mula dengan lebih tertib; selesaikan perbincangan soal kemasukan sebelum bercakap soal kerusi. Itu adalah disiplin asas sebuah gabungan.

“Apabila semua dirangkum dan diumum dalam kenyataan pertama, ia dilihat agak tergesa-gesa,” katanya.

Muda mengumumkan mahu bertanding 15 kerusi Parlimen yang kini disandang sama ada wakil Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN).

Antara kerusi itu ialah Kuala Pilah, seperti yang diumum oleh ketua Muda Negeri Sembilan Tarmizi Anuwar. Kuala Pilah kini diwakili timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Eddin Syazlee Shith dari Bersatu, parti gabungan PN.

Mengenai kritikan terbuka pemimpin AMK kepada Muda, Adam berkata ia adalah “suara dan keresahan akar umbi yang tidak boleh didiamkan.”

“Maka perlu ia ditenung dan didengari. Demokrasi itu sentiasa hingar,” katanya.

Adam lalu meminta Majlis Presiden PH membuat keputusan dengan wajar dan rasional serta menghormati pandangan ramai. – 8 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen