PENGANALISIS politik berbeza pendapat mengenai peranan dimainkan oleh pengundi Undi18 kali pertama yang naif politik di kerusi panas yang dipertandingkan di Sarawak pada pilihan raya umum akan datang.
Walaupun James Chin dari Universiti Tasmania mengetepikannya dengan berkata beliau tidak “terlalu bimbang mengenai golongan belia”, peguam yang mewakili lima remaja itu dalam cabaran undang-undang berhubung kelewatan pelaksanaan Undi18, Simon Siah, berkata golongan belia mempunyai banyak perkara untuk disuarakan.
Siah berkata parti yang berjaya mempengaruhi golongan belia yang “lebih berpendirian dan berpengetahuan luas” untuk kepentingan politik mereka boleh memberi kesan kepada keseimbangan di kerusi yang bertanding sengit, seperti kaum Cina di bandar dan enam kerusi Dayak luar bandar yang diharap Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu dirampas kembali.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata walaupun terdapat tambahan 5.8 juta pemilih baharu dalam daftar pemilih hasil pendaftaran pemilih automatik (AVR), peranan mereka diragui kerana beliau berkata ramai daripada 675,077 pengundi Undi18 dan AVR di Sarawak pada penghujung tahun lepas tidak dapat dikesan.
Chin berkata dua blok politik terbesar di Sarawak, gabungan GPS yang memerintah dan gabungan tiga parti Pakatan Harapan (PH), perlu terus mengejar pengundi dewasa tradisi.
“Mereka akan menentukan sebahagian besar kerusi bandar,” katanya ketika DAP mahu mengekalkan kerusi bandar Cina di Bandar Kuching dan Stampin, yang dipegang oleh Pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen, Sarikei, Lanang, Sibu dan kerusi Dayak separa luar bandar Mas Gading.
Hanya 31 kerusi Parlimen negeri itu akan dipertandingkan pada pilihan raya umum memandangkan Sarawak mengadakan pilihan raya negerinya pada Disember tahun lepas.
Tekanan diterima DAP semakin kuat untuk merangka strategi baharu bagi mengekalkan Stampin, Sarikei, Lanang, Bandar Sibu dan Mas Gading kerana GPS dalam pilihan raya negeri telah menyapu kebanyakan kerusi, jika bukan semua, kerusi DUN yang membentuk kerusi Parlimen tersebut.
Sebagai contoh di kerusi Stampin dipegang Chong, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang bangkit semula mengalahkan DAP daripada bekas kerusi DUN Chong iaitu Kota Sentosa, mengekalkan Batu Kitang dan mengalahkan wajah poster DAP Kelvin Yii di Batu Kawah.
Kerusi Parlimen tunggal PKR, Bandar Miri, juga terancam dan diramalkan akan jatuh kerana SUPP menguasai sepenuhnya tiga kerusi DUN di sana - Pujut, Piasau dan Senadin.
Chin ketika menolak peranan golongan muda, berkata mereka akan mengikut corak adat kaum dan agama.
“Saya tidak fikir golongan muda akan memberontak terhadap kerajaan dalam jumlah yang ketara. Corak pengundian akan sama seperti pengundi sedia ada,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Siah yang juga seorang peguam percaya pengundi muda baharu akan mempunyai peranan yang bakal menjadi penentu.
Pengundi Undi18 tidak layak mengundi pada pilihan raya Sarawak kerana mereka hanya layak pada 1 Januari tahun ini.
“Belia hari ini lebih berpendirian dan berpengetahuan kerana media sosial,” kata Siah.
Hasilnya, Siah berkata lebih ramai belia terlibat dalam perbincangan dalam talian mengenai isu politik semasa.
“Mereka akan mengundi berdasarkan pendapat sendiri. Amat tidak mungkin mereka akan mengundi berdasarkan kecenderungan politik ibu bapa mereka,” tambahnya.
Katanya, ia termasuk belia di kawasan separa luar bandar, separa bandar Bau, Puncak Borneo atau Serian – kawasan antara 20 hingga 70km dari Kuching – dengan capaian internet masih agak tinggi.
“Belia di kawasan ini tidak akan mudah terpengaruh dengan ibu bapa atau orang tua di kampung. Mereka mungkin akan membuat keputusan sendiri atau bersama-sama dengan rakan sebaya mereka.
“Jadi populariti calon atau parti dalam kalangan belia akan memainkan peranan dalam keputusan mereka.”
Siah berkata beliau akan bersetuju dengan Chin yang belia akan mengikuti cara orang tua di kampung, termasuk ibu bapa mereka sendiri mengundi, hanya di kawasan luar bandar yang tiada bekalan elektrik dan akses kepada internet dan media sosial.
“Pengundi muda kali pertama ini akan lebih cenderung mengundi calon yang lebih menonjol di kawasan itu dan hadir sebelum pilihan raya.” – 8 September, 2022.
Komen