Polis tumpas sindiket, rampas dadah, sita harta RM77,720


POLIS menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah menerusi penahanan enam individu dan rampasan dadah serta sitaan harta berjumlah RM77,720.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Lee Chong Chern berkata pihaknya membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Halaman Indah dekat Nibong Tebal pada 2 September lepas dan menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan,

Katanya, polis turut merampas dua bungkusan heroin dengan anggaran berat 909 gram bernilai RM10,000 dan tiga peket dadah syabu anggaran berat dua gram bernilai RM200.

“Siasatan mendapati kedua-dua individu berumur 33 tahun ini ada talian persaudaraan, bekerja sendiri dan mempunyai rekod jenayah,” katanya dalam sidang media di Nibong Tebal hari ini.

Lee berkata penahanan itu telah membawa kepada tiga serbuan di Butterworth dan penangkapan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berumur lingkungan 25 hingga 40 tahun yang merupakan pembekal kepada kedua-dua suspek tersebut.

Dalam tiga serbuan berkenaan, polis merampas tujuh ketulan ganja mampat seberat 6,910 gram bernilai RM17,500 dan satu peket dadah syabu anggaran berat 0.2 gram bernilai RM20.

Beliau berkata sindiket itu aktif dalam pasaran tempatan sejak awal tahun ini dan keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 18,366 orang penagih.

Katanya kesemua suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah dan dadah. – Bernama, 7 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen