KKM saran bayi 6 bulan ke atas suntik vaksin Covid-19


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pihaknya telah memulakan proses perolehan valsin Covid-19 dengan formulasi khusus untuk bayi berusia 6 tahun ke atas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 September, 2022.

BAYI dan kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun dengan komorbiditi atau imun lemah akan ditawarkan vaksin Covid-19, kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sudah memulakan proses perolehan vaksin Covid-19 dengan formulasi khusus untuk golongan terbabit.

Katanya perkara itu disyorkan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) pada 3 Ogos lalu berkaitan pemberian vaksin Covid-19 membabitkan dos primer, dos penggalak dan dos penggalak kedua.

“Turut disyorkan pemberian dos penggalak pertama kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun dengan komorbiditi atau imun lemah bagi meningkatkan keberkesanan vaksin terhadap penyakit teruk yang disebabkan oleh varian Omicron.

“Kumpulan kanak-kanak itu berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk. Pemberian dos penggalak boleh diberikan dalam tempoh enam sehingga sembilan bulan selepas penerimaan dos vaksin terakhir,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Khairy berkata, wanita mengandung dikategorikan sebagai golongan berisiko tinggi mendapat penyakit teruk akibat jangkitan Covid-19 turut ditawarkan dos penggalak kedua.

Katanya, jangkitan Covid-19 boleh meningkatkan risiko komplikasi yang boleh menjejaskan kehamilan dan perkembangan bayi.

“Data sedia ada menunjukkan vaksin mRNA berkesan mengurangkan risiko untuk mendapat jangkitan teruk semasa kehamilan. Antibodi yang dihasilkan wanita mengandung mengambil vaksin turut dikesan pada bayi dan boleh membantu melindungi bayi daripada jangkitan.

“Data keselamatan vaksin sedia ada juga tidak menunjukkan sebarang peningkatan risiko keguguran, komplikasi kehamilan dan kecacatan kelahiran atau sebarang kebimbangan ke atas aspek keselamatan bagi wanita mengandung yang menerima vaksin mRNA,” katanya.

Menurut Khairy, wanita mengandung dan menyusu juga boleh menerima vaksin dos penggalak dan bagi mereka berisiko mendapat penyakit teruk akibat Covid-19 juga boleh menerima dos penggalak kedua pada bila-bila masa sepanjang tempoh kehamilan.

Beliau berkata, buat masa ini hanya vaksin Pfizer yang diluluskan untuk pemberian dos penggalak kedua kepada individu berusia 50 tahun, individu berusia 12 tahun ke atas dengan imun lemah, individu berisiko berusia 18 tahun ke atas, wanita mengandung dan petugas kesihatan.

Bagaimanapun, katanya, vaksin heterologous dengan vaksin mRNA atau vaksin vektor virus untuk dos penggalak kedua boleh diberikan kepada individu yang berisiko tinggi mendapat penyakit teruk akibat Covid-19. – 7 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen