Ahli politik Sarawak gesa siasatan dakwaan seleweng dana pendidikan


Desmond Davidson

Kualiti pendidikan adalah kunci kemakmuran negara dan pelajar perlu diberi segala kemudahan terbaik untuk mendapat pendidikan sepatutnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2022.

PEMIMPIN sebuah parti politik Sarawak hari ini menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius kes penyelewengan dana pendidikan seperti dakwaan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik.

Maszlee yang merupakan menteri pendidikan dari Mei 2018 hingga Januari 2020 kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH), baru-baru ini berkongsi catatan di akaun media sosialnya mendakwa “berjuta-juta, jika tidak berbilion ringgit dana pendidikan telah diselewengkan selama bertahun”.

Maszlee juga menyatakan tidak dapat dibayangkan bagaimana beberapa kleptokrat Barisan Nasional (BN) sanggup mengambil dana KPM (Kementerian Pendidikan) bernilai berbilion ringgit untuk kemewahan peribadi sedangkan kanak-kanak di Sabah dan Sarawak terus menderita.

Voon Lee Shan, presiden Parti Bumi Kenyalang yang pro kemerdekaan, berkata polis dan SPRM tidak perlu takut atau berat sebelah untuk membawa pesalah ke muka pengadilan kerana “pendidikan berkualiti rendah akan melahirkan peguam, hakim, doktor, jurutera, ahli ekonomi dan profesional lain yang tidak berkualiti”.

Voon berkata kualiti pendidikan adalah kunci kepada kemakmuran negara, dan pelajar, jika mereka ingin cemerlang dalam pelajaran, tidak harus dihalang daripada kemudahan dan persekitaran sesuai supaya mereka mendapat pendidikan berkualiti yang sepatutnya untuk mereka.

Beliau berkata guru juga perlu diberi sokongan oleh kerajaan dan orang ramai agar lebih tenang untuk membantu pelajar cemerlang dalam pelajaran.

“Kita mempunyai terlalu banyak sekolah uzur dengan kemudahan kurang baik terutama di kawasan luar bandar dan ini menjejaskan kehidupan pelajar dan guru.

“Untuk pelajar cemerlang dalam pelajaran dan untuk guru dapat menumpukan perhatian kepada tugas mereka, Malaysia membelanjakan berbilion ringgit dalam beberapa dekad lalu tetapi tidak dapat mencari penyelesaian untuk meningkatkan taraf pendidikan di negara ini,” kata Voon.

Beliau berkata sebabnya ialah wang yang sepatutnya digunakan untuk pendidikan diambil atau diseleweng oleh “sebilangan ahli politik dan ahli perniagaan tidak jujur”.

“Golongan profesional yang dihasilkan oleh institusi yang tidak berkualiti boleh mewujudkan keadaan huru-hara yang menjejaskan keselamatan negara dan juga menyebabkan kejatuhan ekonomi negara.” – 7 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen