SUDAH dua minggu Barisan Nasional (BN) seolah-olah hilang di media sosial kerana Najib Razak sudah tidak mampu memberikan apa-apa ulasan tentang isu semasa.
Sebelum kedatangan Rafizi Ramli, saya melihat Pakatan Harapan (PH) gagal untuk meneutralkan dakwaan-dakwaan yang dikemukakan Najib di media sosial, walaupun sekali-sekala Najib memberikan gambaran yang kurang tepat.
Beberapa hari lepas, Nizar Najib mengatakan ayahnya umpama Nelson Mandela kerana dipenjarakan.
Saya tidak ingin mengulas panjang tentang mengapa Najib bukan Mandela, tetapi lebih cenderung kepada Imelda Marcos.
Apa yang ingin saya bincangkan hari ini adalah – bagaimana kita sebagai rakyat ingin “move on” daripada Najib?
Walaupun pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Najib kelihatan sudah kehilangan nyawa, tetapi tempoh 22 bulan menjadi pembangkang – dan setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan, tetap membawa imej pembangkang – hanya tirai besi kali ini benar-benar “membunuh” karier dan imejnya.
Belajar dari kesilapan lepas
Kekuatan terbesar yang dimiliki oleh pasukan Najib setelah dia dipenjarakan adalah simpati daripada rakyat.
Disebabkan hal ini, kita dapat melihat anak-anaknya cuba menggunakan sentimen kekeluargaan – termasuklah mengatakan mereka sedih kerana tidak dapat memberikan kopi Starbucks kepada Najib.
Ramai yang mungkin tidak termakan dengan strategi seperti ini, namun kita harus belajar daripada kesilapan lepas.
Mengapa ada orang yang bersimpati terhadap Najib setelah PRU14?
Kita dapat lihat keluarga Najib digeledah dan disiasat sehingga awal pagi – walaupun ia mungkin diperlukan, tetapi keadaan seperti ini akan melahirkan simpati – kerana dia bekas perdana menteri.
Apa yang saya cuba sampaikan adalah Najib sudah berada di penjara; kita harus mengambil pelajaran daripada apa yang berlaku dan berusaha untuk menghindari rasuah.
Kita tidak sepatutnya terus bermain isu ini kerana pada akhirnya orang akan berasa bosan dan lambat laun akan melahirkan rasa simpati.
Saya lihat ada sesetengah pemimpin PH dan pembangkang kerap “overkill” sesuatu isu, termasuklah isu Najib.
Mereka juga selalunya tidak konsisten dengan keputusan mahkamah – sekiranya keputusan mahkamah berpihak pada kemahuan mereka, maka mahkamah akan dikatakan melakukan kerja dengan baik.
Apabila rakan-rakan mereka didapati bersalah, mahkamah akan dituduh melakukan pendakwaan politik.
Pembangkang harus meluangkan masa lapang mereka untuk mengemukakan dasar-dasar yang akan diperkenalkan seandainya rakyat memberi mereka mandat pada PRU15.
Saya juga ingin melihat mereka datang dengan bajet alternatif menjelang pembentangan Bajet 2023.
Seingat saya, sudah lama kita tidak melihat bajet alternatif daripada pembangkang – ia diperlukan untuk rakyat melihat kaedah lain hasil negara boleh dibelanjakan.
Selain itu, ada banyak isu asas negara yang perlu diberikan perhatian. Pembangkang perlu lantik empat lima orang sahaja untuk mengetuai isu-isu skandal politik dan rasuah.
Sebagai contoh, isu RM9 bilion untuk enam kapal tempur pesisir pantai (LCS), berduyun-duyun pemimpin pembangkang bercakap tentangnya.
Memandangkan isu ini begitu popular, hampir semua pemimpin pembangkang mahu bercakap tentangnya, walaupun mereka yang tidak memiliki kefahaman asas tentang isu ini.
Untuk Malaysia bergerak ke hadapan, kita perlukan pemimpin yang bukan sahaja tahu menumpang isu-isu popular (populis), tetapi para pemimpin yang konsisten bercakap isu-isu asas yang mungkin tidak popular dalam kalangan rakyat.
Percayalah, isu-isu asas seperti gaji wajar, pekerjaan, pemilikan rumah, hutang pendidikan, keselamatan dan rantaian makanan – mungkin tidak akan memberi populariti segera, tetapi andainya ada pemimpin yang konsisten menyampai isu-isu ini, dia akan diterima baik oleh rakyat.
Malaysia selepas Najib memerlukan “thought leader”, bukan “populist leader”.
Negara kita tidak boleh lagi menerima pemimpin-pemimpin yang hanya tahu menyimbah minyak ke api perkauman dan agama.
Sebagai rakyat, kita harus tingkatkan “standard” dalam memilih pemimpin. Kita tidak boleh menutup mata dengan siapa sahaja yang dilemparkan parti-parti politik kepada kita.
Masyarakat yang cerewet dalam memilih pemimpin selalunya akan menjadi masyarakat yang hidup lebih selesa.
Kita ucapkan selamat tinggal kepada Najib; kita perlu bersedia untuk mengucapkan selamat datang kepada pemimpin-pemimpin baharu yang bersih dari rasuah dan memiliki kualiti yang boleh diharapkan. – 7 September, 2022.
* Rahman Imuda, pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen