Rayuan isu kerakyatan, 19 September tarikh urus kes


Sebelum ini mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 28 September namun dipercepatkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2022.

MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 19 September ini untuk pengurusan kes selanjutnya bagi permohonan Persatuan Sokongan Keluarga & Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita rakyat Malaysia bagi mendapatkan kebenaran merayu berhubung isu kerakyatan.

Mereka memohon mendapatkan kebenaran itu untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak kewarganegaraan secara automatik kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dengan pasangan warga asing.

Abraham Au antara peguam yang mewakili Family Frontiers dan ibu berkenaan semasa dihubungi berkata mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes baharu kerana mahu kes kewarganegaraan  Mahisha Sulaiha Abdul Majeed didengar bersama dengan kes tersebut.

Beliau berkata mahkamah mempercepatkan prosiding pengurusan kes itu ke hari ini selepas mereka memfailkan sijil perakuan segera.

Sebelum ini mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 28 September.

Au berkata anak guamnya mahu prosiding permohonan kebenaran merayu itu dipercepatkan namun Jabatan Peguam Negara tidak bersetuju kerana Mahkamah Rayuan telah menyatakan status quo bagi anak kelahiran luar negara daripada enam ibu yang telah memperoleh kewarganegaraan akan dikekalkan sementara menunggu permohonan itu selesai.

Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali mewakili kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) manakala peguam Loh Suk Hwa mewakili Family Frontiers dan ibu berkenaan menghadiri prosiding pengurusan kes itu secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Rasidah Roslee.

Family Frontiers dan enam wanita itu memfailkan permohonan untuk merayu pada 26 Ogos lalu untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dengan pasangan warga asing tidak berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia mengikut kuat kuasa undang-undang.

Pada 5 Ogos lalu Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Pada hari sama panel hakim yang sama menolak rayuan Mahisha Sulaiha, 24,terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos 2020 yang menolak saman difailkannya memohon pengisytiharan dia berhak menjadi warganegara Malaysia.

Dalam kes sivil litigan mesti mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum mereka boleh meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Family Frontiers dan enam wanita yang berkahwin dengan warga asing mahu perintah mahkamah supaya semua agensi kerajaan yang berkaitan termasuk JPN, Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia mengeluarkan dokumen berkaitan kewarganegaraan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara beribukan warga  Malaysia dengan pasangan warga asing. – Bernama, 6 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen