POLIS menahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam perancangan merompak sebuah kedai emas di Jalan 7/62A Bandar Manjalara, Kepong, di Kuala Lumpur, Ahad lepas (4 September).
Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata kejadian itu berlaku apabila empat anggota polis dari Balai Polis Kepong sedang membuat rondaan untuk mengesan kegiatan pecah cermin kenderaan di kawasan itu pada 8.54 malam.
Beliau berkata semasa rondaan dibuat, anggota polis mendapati kedua-dua suspek masing-masing berusia 42 dan 43 tahun bersama sebuah kereta Proton Wira, berada dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan polis menemukan dua pistol dan beberapa peluru hidup di dalam kenderaan itu selain lapan peluru di dalam poket seluar seorang daripada suspek manakala 10 peluru lagi ditemukan dalam genggaman rakannya itu.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek itu sedang merancang untuk merompak sebuah kedai emas di kawasan berhampiran namun gagal apabila cubaan itu dipatahkan pihak polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Azmi berkata hasil siasatan lanjut, pihaknya melakukan serbuan di sebuah rumah di Jalan Klang Lama, di Kuala Lumpur pada 1.15 pagi tadi dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang dipercayai dalang utama rompakan kedai emas bagi kumpulan itu.
Beliau berkata dalam serbuan itu polis turut menemukan wang tunai RM129,300 dan 39 paket barang kemas pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM175,000.
“Siasatan mendapati suspek dalang utama itu mempunyai lima rekod jenayah dengan tiga kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 manakala seorang daripada dua suspek yang ditahan di Bandar Manjalara pula mempunyai satu rekod jenayah,” katanya.
Menurutnya kedua-dua suspek yang ditahan di Bandar Manjalara direman tujuh hari bermula semalam manakala dalang utama turut direman tujuh hari bermula hari ini.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1970.
“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan termasuk dari mana suspek mendapatkan bekalan senjata api,” katanya. – Bernama, 6 September, 2022.
Komen