Belgium bimbang kenaikan harga tenaga di Eropah cetus 'perang ekonomi'


Perdana Menteri Belgium Alexander De Croo mengkritik Suruhanjaya EU kerana lambat bertindak berhubung krisis tenaga. – Gambar EPA, 6 September, 2022.

PERDANA menteri Belgium pada Isnin memberi amaran jika Kesatuan Eropah tidak campur tangan dalam krisis tenaga, blok itu boleh terjerumus dalam kancah “perang ekonomi.”

Bercakap menerusi saluran tempatan VRT, Alexander De Croo menegaskan situasi terkini tidak boleh berterusan, lapor Agensi Anadolu.

Beliau turut mengkritik Suruhanjaya EU kerana lambat bertindak berhubung isu itu, sambil berkata Belgium tidak akan membenarkan syarikat-syarikat muflis atau beribu-ribu rakyatnya merempat kerana kos tenaga.

De Croo berkata: “Krisis ini tidak terhad kepada tenaga, ini adalah situasi tentang kestabilan dan keselamatan benua Eropah.

“Jika Suruhanjaya EU tidak campur tangan, terdapat risiko yang menjerumus kepada perang ekonomi sebenar.”

Sambil menekankan kepentingan mengenakan harga siling ke atas gas asli, beliau berkata isu ini juga perlu ditangani dan diputuskan di peringkat Eropah.

Bulan lalu, De Croo memberi amaran keadaan sukar ini susulan kenaikan harga tenaga akan berterusan hingga lima atau 10 musim sejuk akan datang. – Bernama, 6 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen