KERAJAAN Jerman bersetuju meluluskan pakej bantuan bernilai 65 bilion euro (AS$65 bilion) bagi mengurangkan tekanan terhadap isi rumah susulan bekalan gas Russia semakin berkurangan dan bil tenaga melambung tinggi, menurut kertas dasar yang dilihat AFP.
“Bantuan yang tepat pada masanya untuk rakyat dan perniagaan adalah perlu berikutan beban harga tenaga yang tinggi dan semakin meningkat,“menurut ahli gabungan kerajaan Jerman dalam dokumen itu sambil menambah jumlah pakej mencecah “lebih 65 bilion euro”.
Langkah itu termasuk pembayaran “one-off” sebanyak 300 euro kepada berjuta-juta pesara bagi membantu mereka menampung bil tenaga yang semakin meningkat.
Kerajaan juga akan memberi bantuan “one-off”sebanyak 200 euro kepada pelajar dan bayaran kos pemanasan untuk orang yang menerima faedah perumahan.
Pengumuman itu disusuli dua pakej bantuan sebelum ini berjumlah 30 bilion euro, termasuk pengurangan cukai ke atas petrol dan pemberian subsidi besar tiket pengangkutan awam.
Di bawah perjanjian itu, kerajaan memperuntukkan 1.5 bilion euro sebagai pengganti kepada tiket bulanan sembilan euro bagi rangkaian pengangkutan tempatan dan serantau, walaupun harganya mungkin lebih tinggi.
Berlin selama bertahun-tahun bergantung kepada import tenaga Russia untuk memenuhi keperluannya sekali gus terdedah kepada kenaikan harga tenaga apabila bekalan dari Moscow berkurangan.
Inflasi Jerman meningkat semula kepada 7.9% pada Ogos, selepas jatuh selama dua bulan di bawah pengaruh langkah bantuan kerajaan.
Kenaikan harga tenaga dijangka mendorong inflasi di Jerman dan zon euro kepada sekitar 10% menjelang akhir tahun ini, kadar tertinggi dalam beberapa dekad.
Pakej bantuan terbaru kerajaan hadir dua hari selepas gergasi tenaga Rusia, Gazprom mengumumkan syarikat itu tidak akan memulakan semula penghantaran gas melalui saluran paip Nord Stream 1 hari ini seperti yang dirancang selepas penyelenggaraan selama tiga hari. – AFP, 4 September, 2022.
Komen