PKR Sabah lantik 13 muka baharu


Sangkar yang juga Ketua Cabang Keningau itu dilantik bagi menggantikan Christina Liew. – Gambar Facebook Sangkar Rasam, 4 September 2022.

PKR Sabah mengumumkan barisan kepimpinan parti itu dengan 13 jawatan tertinggi disandang oleh muka baharu. 

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah yang baru dilantik Simsudin Sidek berkata Pengerusi PKR Sabah yang baharu ialah bekas ahli akademik Sangkar Rasam yang juga Ketua Cabang Keningau menggantikan Christina Liew.

“Pelantikan Sangkar dibuat pada mesyuarat yang diadakan dengan semua Ketua Cabang Sabah dan Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 6 Ogos lepas. Liew kekal sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk mengetuai jentera pilihan raya PH negeri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” kata Simsudin yang juga Ketua Cabang Labuan.

Ketua Cabang Kota Marudu Sazalye Donol Abdullah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PKR Sabah manakala ADUN Inanam yang juga Ketua Cabang Sepanggar, Peto Galim sebagai Naib Pengerusi 1, Joseph Alex Chang (Ketua Cabang Penampang) dan Romansa Lamin (Ketua Cabang Silam) masing-masing Naib Pengerusi 2 dan 3.

Ketua Wanita PKR Labuan Noriha Yakub dilantik sebagai Ketua Wanita PKR Sabah, Rufina Pangeran sebagai Timbalannya dan Zaidi Jatil adalah Ketua Pemuda baharu dan Timbalannya, Remysta Jimmy Tailor manakala Raymond Ahuar dilantik sebagai Bendahari dan Sahrudin A Harol, Setiausaha Penyelaras. – Bernama, 4 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen