Tiba masa mansuh peraturan pakai pelitup muka, kata pakar kesihatan


Raevathi Supramaniam

Pakar kesihatan mahu KKM menjadikan pemakaian pelitup muka sebagai pilihan kepada orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2022.

SUDAH tiba masa peraturan pemakaian pelitup muka dimansuhkan susulan semua indikator kesihatan menunjukkan tanda yang positif, kata pakar kesihatan.

Mengambil kira Malaysia yang beralih ke fasa endemik lima bulan lalu dan perniagaan serta perjalanan antarabangsa telah disambung semula tanpa kemasukan kes, merupakan tanda positif peraturan ini boleh ditamatkan.

Namun mereka mengingatkan walau peraturan itu dimansuhkan, warga emas dan individu berpenyakit masih perlu memakai pelitup muka terutama di kawasan sesak.

Pemakaian pelitup muka di fasiliti kesihatan juga masih perlu dikekalkan, kata mereka.

Pakar kesihatan awam Dr Zainal Ariffin Omar berkata pelitup muka kini perlu dijadikan sebagai pilihan.

“Sudah tiba masa untuk Kementerian Kesihatan (KKM) menyemak kembali polisi ini dan menjadikannya sebagai pilihan untuk orang awam kecuali dalam keadaan tertentu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya orang awam juga sudah mula kurang ambil berat tentang Covid-19 kerana ramai yang sudah dijangkiti atau telah divaksin.

Pakar kesihatan awam dan Ahli Epidemiologi Universiti Putra Malaysia Dr Malina Osman turut bersetuju keadaan kini selamat untuk tidak memakai pelitup muka di luar.

“Seperti sedia maklum kita sudah memasuki fasa endemik sejak lima bulan lalu. Sempadan juga sudah dibuka sejak 1 Mei.

“Kebanyakan prosedur operasi standard (SOP) berkait kawalan dan pencegahan pandemik sudah dilonggarkan malah tiada lagi kuarantin untuk pengembara.

“Sepanjang tempoh itu, majoriti masyarakat tidak ikut SOP sepenuhnya tapi indikator pandemik menunjukkan trend menurun,” katanya.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata pemansuhan pengkuatkuasaan itu mungkin tidak akan menyebabkan kemasukan kes Covid-19.

“Jika kita batalkan sekarang saya tidak fikir akan ada kemasukan kes. Lonjakan kes pun sudah tiada dan keadaan sekarangb terkawal meski hampir tiada SOP melainkan varian baharu muncul di kemudian hari jika kesan vaksin sudah hilang,” katanya.

Namun beliau berkata pelitup muka masih perlu dipakai di fasiliti perubatan dan oleh mereka yang berpenyakit.

Semalam, Malaysia mencatatkan 2,328 kes baharu dengan 9 kematian.

Kebelakangan ini kebanyakan SOP Covid-19 telah dimansuhkan termasuk pemakaian pelitup muka di luar. – 4 September, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen