PAS tak pejam mata ke atas rasuah demi kerjasama, kata Hadi


Diyana Ibrahim

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu tidak akan memejamkan mata ke atas perlakuan rasuah semata-mata untuk menjaga kerjasama politik dan menjamin jawatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2022.

PAS tidak akan memejamkan mata ke atas perlakuan rasuah semata-mata untuk menjaga kerjasama politik dan menjamin jawatan, kata presidennya Abdul Hadi Awang.

Beliau memberitahu perwakilan parti, tindakan mengabaikan prinsip itu salah dan berdosa dari segi agama Islam.

“PAS tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus, kerana meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah.

“Dan sehingga meninggalkan prinsip, adalah konsep ta‘awun (kerjasama) yang salah dan berdosa,” katanya dalam ucapan dasar dalam persidangan Muktamar PAS di Alor Setar, Kedah.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama politik dengan parti politik, Hadi berkata PAS sedia berbincang dengan pihak yang menunjukkan keikhlasan untuk “kembali kepada Islam”.

Tambahnya, segala mandat membuat keputusan berkaitan hukum, dasar termasuk strategi bagi pilihan raya atau segala kemungkinan selepas itu diserahkan kepada Majlis Syura Ulama  dan PAS Pusat.

“Ini termasuk segala kemungkinan selepas pilihan raya demi memastikan Islam terus memimpin, termasuklah urusan penentuan kerusi dan calon dalam menghadapi PRU15,” katanya.

PAS pada awal tahun ini memutuskan kerjasama dengan Umno yang dirundung pelbagai masalah selepas para pemimpin parti Melayu itu dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

Bekas presiden Umno Najib Razak dihumban ke penjara pada minggu lalu bagi kesalahan pecah amanah jenayah dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Selain hukuman penjara 12 tahun itu, bekas perdana menteri tersebut perlu membayar denda RM210 juta dan berdepan hukuman lima tahun penjara lagi sekiranya gagal melunaskannya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula menghadapi 47 tuduhan – 12 bagi kes pecah amanah jenayah berkaitan dana RM31 juta milik Yayasan Akalbudi, 27 tuduhan mencuci wang haram dan lapan tuduhan rasuah.

Isteri Najib, Rosmah Mansor juga pada minggu lalu didapati bersalah atas tuduhan rasuah melibatkan projek solar untuk sekolah pedalaman Sarawak.

Beberapa pemimpin Umno lain kini menunggu giliran bagi menghadapi perbicaraan kes masing-masing.

Umno semalam mengumumkan tidak akan lagi meneruskan rundingan dengan PAS dan menuduh parti Islam itu dangkal kerana hanya menawarkan kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN).

Ahmad Zahid menyatakan kestabilan, keyakinan dan kerjasama kukuh dalam MN tidak dapat dijalin disebabkan hubungan PAS dengan Bersatu yang mahu menghancurkan Umno.

Mengulas kenyataan itu, Abdul Hadi dalam sidang media selepas ucapannya berkata kenyataan Ahmad Zahid itu tidak mewakili keseluruhan suara parti Umno,

Beliau percaya masih ada lagi pimpinan dan ahlinya yang menyokong kerjasama dengan PAS demi penyatuan umat Islam di negara ini.

“Dalam Umno bukan hanya ada Ahmad Zahid sahaja, ada setiausahanya, naib presiden dan akar umbinya.

“Saya harap itu bukan kenyataan dari akar umbinya,” kata Hadi lagi,

Pada masa sama beliau berkata PAS tetap mahu bekerjasama dengan Umno dan rundingan masih terus berjalan.

Sementara itu Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan mendedahkan tiada pimpinan Umno yang menghadiri muktamar biarpun telah dijemput.

“Tiada seorang pemimpin Umno yang hadir kita telah hantar jemputan kepada semua pimpinan termasuk pimpinan bahagian Kedah, tapi tidak hadir,” katanya. – 3 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen