Junta Myanmar penjarakan bekas duta Britain setahun


Bekas duta Britain ke Myanmar Vicky Bowman dihukum penjara setahun kerana melanggar peraturan imigeresen, meurut jurucakap junta. – Gambar EPA, 3 September, 2022.

SEORANG bekas duta Britain ke Myanmar dan suaminya masing-masing dihukum penjara setahun kerana melanggar peraturan imigeresen, kata jurucakap junta semalam.

Vicky Bowman yang berkhidmat dari 2002 hingga 2006 ditahan bulan lepas selepas gagal mengisytiharkan alamat baharu, berbeza daripada yang disenaraikan dalam sijil pendaftaran warga asing.

Turut ditahan bulan lepas ialah suaminya, pelukis terkenal Myanmar Htein Lin. 

Htein Lin didakwa membantu isterinya tinggal di alamat yang berbeza dengan rumah berdaftar mereka di Yangon.

Pasangan yang mempunyai seorang anak perempuan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Jurucakap Kementerian Luar Britain berkata Bowman dan keluarganya akan diberi sokongan sehingga kes mereka selesai.

Sebelum berkhidmat sebagai duta, Bowman adalah setiausaha kedua di kedutaan British dari 1990 hingga 1993.

Beliau kini pengarah Pusat Perniagaan Bertanggungjawab Myanmar, yang mempromosikan hak asasi manusia melalui perniagaan bertanggungjawab di negara itu.

Manakala Htein Lin pernah ditangkap pada tahun 1998 dan dipenjarakan kerana mengambil bahagian dalam pemberontakan menentang junta semasa menjadi pelajar.  Beliau dibebaskan pada 2004.

Bowman dan Htein Lin berkahwin pada 2006. – AFP, 3 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen