Australia tingkat pengambilan migran susulan krisis tenaga mahir, buruh 


Terdapat keperluan untuk meningkatkan had pengambilan migran bagi menangani masalah kekurangan buruh di Australia. – Gambar EPA, 2 September, 2022.

KERAJAAN Australia komited untuk meningkatkan jumlah pengambilan pekerja migran secara tahunan bagi menangani masalah kekurangan kemahiran dan tenaga buruh.

Menteri Dalam Negeri Clare O’Neil, pada Jumaat berkata bahawa kadar penghijrahan migran yang berkemahiran pada tahun ini telah ditetapkan pada 160,000 tempat, dan kerajaan akan meningkatkan jumlah itu kepada 195,000, lapor Xinhua.

Bercakap pada hari kedua sidang kemuncak Pekerjaan dan Kemahiran, O’Neil berkata “hampir semua orang” bersetuju terdapat keperluan untuk meningkatkan had pengambilan migran bagi menangani masalah kekurangan buruh.

“Saya ingin menekankan bahawa antara keutamaan parti Buruh (kerajaan) adalah untuk beralih daripada migran jangka pendek, ke arah mengekalkan golongan ini, memberi taraf kewarganegaraan dan membina negara,” katanya.

Negara bakal mengalu-alukan kedatangan 34,000 migran baharu untuk tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 9,000 berbanding sebelumnya.

Kuota tambahan juga akan diperuntukkan untuk pengamal perubatan, pekerja sektor teknologi dan pekerja yang mempunyai kemahiran yang diperlukan dalam infrastruktur kritikal.

Kerajaan pada Jumaat juga mengumumkan pembiayaan berjumlah kira-kira 36 juta dolar Australia (AS$24.4 juta) bagi membantu menguruskan tunggakan permohonan visa.

Perdana Menteri Anthony Albanese berkata majikan di Australia terlalu bergantung kepada migran sementara.

“Terdapat juga konsensus bahawa ia bukan hanya mengenai angka, tetapi mengenai sistem migran, bahawa kita perlu melaksanakan penghijrahan yang lebih kekal dan bukan hanya bergantung kepada buruh sementara,” katanya kepada Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) televisyen. – Bernama, 2 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen