Kerajaan peruntuk RM1 bilion bantu operasi bas henti-henti, kata menteri


Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong berkata kerajaan memperuntukkan dana sokongan sebanyak RM1 bilion bagi membantu pengoperasian bas henti-henti di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2022.

KERAJAAN memperuntukkan dana sokongan sebanyak RM1 bilion bagi membantu pengoperasian bas henti-henti di seluruh negara bermula 2012 hingga sekarang, kata Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata dana sokongan itu diperkenalkan di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) dan Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-Henti (ISBSF) menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“ISBSF bertindak sebagai langkah sementara untuk membantu pengendali bas henti-henti yang terjejas ekoran daripada peningkatan kos operasi.

“Sekarang kita telah ubah kepada satu proses transformasi dan penjenamaan terbaharu seperti SBST dengan mengggunakan MyBAS dan sehingga hari ini kerajaan telah membelanjakan RM1 bilion,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perkhidmatan Bas E-Mutiara Rentas Desa (MRD) di Tunjong di Kota Bharu hari ini.

Dalam perkembangan sama, Wee berkata kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM4 juta setahun menerusi ISBSF bagi pengoperasian bas henti-henti di Kelantan.

Menurutnya usaha itu juga bertujuan memudahkan pergerakan rakyat yang tidak mampu memiliki kenderaan dan masih memerlukan perkhidmatan kenderaan awam.

“Perkhidmatan ini turut dirangka bagi memastikan penumpang memperoleh perkhidmatan bas sepanjang laluan sosial yang dahulu kurang mendapat perhatian.

“Di samping mengurangkan pertindihan laluan bas agar liputan perkhidmatan itu mencapai tahap optimum, SBST telah dilaksanakan di bandar-bandar besar di negara ini,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 27 bas mini sudah beroperasi secara keseluruhan di sepanjang 13 laluan MRD di Kelantan sejak 1 Feb lepas.

Wee berkata antara kemudahan disediakan perkhidmatan itu ialah bas berpenghawa dingin, teknologi baharu termasuk tiket elektronik dan mampu memuatkan 30 penumpang. – Bernama, 2 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen