AHLI Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad diperintah membela diri atas tuduhan menerima rasuah RM2.8 juta.
Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi semua tiga pertuduhan terhadap pasangan terbabit.
Rozina dalam penghakimannya berkata, keputusan itu hasil penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.
“Mahkamah berpuas hati dan mendapati kesemua intipati pertuduhan di bawah Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang dipertuduhkan ke atas tertuduh pertama (Bung Moktar) berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan pada tahap prima facie,” kata Rozina.
Rozina berkata mahkamah juga mendapati terdapat percanggahan di antara rakaman percakapan dengan keterangan lisan dua saksi, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar.
Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan pertuduhan dan menerima keterangan lain yang dikemukakan dua saksi tersebut di mahkamah, katanya.
Tambah Rozina, pendakwaan berjaya membuktikan Bung Moktar memperoleh suapan bernilai RM2.8 juta melalui isteri ahli Parlimen itu.
“Dalam kes ini juga dibuktikan wang berjumlah RM2.8 juta diperoleh melalui tertuduh kedua (Zizie Izette),” katanya.
Mahkamah mendapati tindakan itu sebagai dorongan mendapatkan kelulusan dari Menteri Kewangan II untuk Felcra Bhd melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Dalam pertuduhan ke atas Zizie, mahkamah turut berpuas hati kes prima facie dibuktikan bagi pertuduhan mengikut Subseksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 itu, kata Rozina.
Beliau seterusnya memberi tiga pilihan kepada pasangan suami isteri itu untuk membela diri.
“Saya memberi tiga pilihan iaitu pertama berdiam diri dengan tidak menjawab pertuduhan atau kedua memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.
“Pilihan ketiga pula, memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Bung Moktar dan Zizie Izette yang diwakili peguaam K Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri seterusnya menjawab mereka mengambil pilihan ketiga.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How.
Athimulan yang mewakili pasangan suami isteri itu berkata, Bung dan tujuh orang lagi akan memberi keterangan saksi di peringkat pembelaaan.
Manakala Kumaraendran berkata, Zizie dan seorang lagi akan memberi keterangan bagi pihak tertuduh kedua.
Mahkamah ditangguhkan sementara kedua-dua pihak mengadakan perbincangan dalam kamar hakim untuk menentukan tarikh perbicaraan.
Seramai 30 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula 2 Januari 2020, antaranya bekas menteri kewangan II Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.
Turut tampil, dua pegawai tinggi Felcra – seorang pengarah, Dr Habibah Suleiman dan bekas pengurus besar pelaburan Adnan Yusof.
Bung Moktar, 64, didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga didakwa menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette, 44 didakwa atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama. – 2 September, 2022.
Komen