PRU15 medan pertembungan nilai budaya orang Melayu


Mohd Farhan Darwis

Bekas perdana menteri Najib Razak melambai ke arah penyokongnya yang menunggu di luar Mahkamah Persekutuan untuk mendengar keputusan rayuan akhirnya pada 23 Ogos lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2022.

PILIHAN raya umum (PRU) yang dijangka tidak lama lagi sebelum akhir tahun akan jadi medan pertembungan dua pemikiran dan sikap orang Melayu terhadap rasuah dan penyelewengan, kata ahli akademik dan ahli politik.

Pertembungan itu tercermin daripada reaksi pengundi Melayu kepada sabitan dan hukuman ke atas Najib Razak yang dikekalkan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, kata mereka.

Ketika satu pihak menganggap keadilan sudah ditegakkan apabila Najib mula menjalani hukuman penjara, satu pihak lagi mendakwa Najib mangsa ketidakadilan dan pendakwaan politik.

Sejarawan Ahmad Murad Merican berkata dua kepercayaan itu akan bertembung dan mempengaruhi pengundian mereka pada PRU15.

“Mahkamah membuat keputusan, namun apa yang berlaku mencetuskan satu krisis moral dalam kalangan orang Melayu.

“Kita lihat kemunculan satu budaya yang songsang di mana seorang kleptokrat, pencuri wang negara dipuja dan diagungkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahmad Murad yang juga Ahli Jawatankuasa Gerakan Tanah Air (GTA) mewakili kumpulan ahli akademik dan profesional, menjelaskan budaya mengagungkan pemimpin yang korup boleh jadi penyakit yang mengancam tamadun Melayu.

Profesor sejarah sosial dan intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-UIAM) berpandangan fahaman itu amat berbahaya kerana ia menerima budaya dan amalan menyeleweng, khususnya dalam kalangan pemimpin, sebagai satu kebiasaan.

“Akan terserlah dua jenis kaum Melayu dalam landskap politik nasional dan mereka akan bertembung dalam satu krisis nilai bertahun lamanya.

“Apakah ini yang kita mahu lihat masa depan orang Melayu? Ini bukan lagi soalan undang-undang, ini persoalan masa depan tamadun Melayu.

“Kleptokrasi, rasuah dan penyalahgunaan kuasa menjadi endemik di negara kita, sudah tentu kaum Melayu wajib menentang budaya songsang, dan kita nampak pertembungan ini,” katanya.

Justeru katanya, pemimpin Melayu harus mengambil tindakan segera untuk membanteras fahaman menyanjung pemimpin yang korup daripada terus berakar umbi dalam pemikiran orang Melayu.

Tanpa sebarang pembetulan, orang Melayu semakin sukar membezakan amalan yang betul dan salah, katanya.

“Ini merentasi pilihan raya umum akan datang, di mana merupakan pertembungan antara nilai bertamadun dan nilai anti-tamadun yang buta dan taksub.

“Jika tiada siapa yang ingin membetulkan keadaan ini, maka keupayaan kaum Melayu dalam membezakan antara betul dan salah akan kabur dan mudah terpesong.

“Adakah kita hendak lihat kaum Melayu masa depan mengagungkan dan cium tangan pencuri dan perompak? Ini merentasi mana-mana parti politik di Malaysia,” kata Ahmad Murad.

GTA yang dipengerusikan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad adalah gerakan politik baharu yang berhasrat melakukan pembetulan itu. Gerakan yang mahu bertanding pada PRU15 itu digerakkan empat parti Melayu – Pejuang, Berjasa, Putra dan Iman – serta pertubuhan Melayu dan pemimpin masyarakat.

Tanpa sebarang pembetulan, orang Melayu semakin sukar membezakan amalan yang betul dan salah apabila mereka memuja pemimpin yang korup dan disabitkan bersalah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2022.

Fokus isu rakyat

Sementara itu, ahli jawatankuasa penerangan GTA Mahdzir Ibrahim berpandangan isu ekonomi rakyat akan tetap jadi tumpuan utama walaupun pemikiran pengundi Melayu bertembung atas isu Najib.

“Rakyat nak melihat apa tawaran yang baik untuk rakyat, fokus sebenar rakyat apa tawaran lagi untuk rakyat (pada PRU15 nanti).

“Inflasi, kos sara hidup yang parti politik kena fokus, bukan Najib tapi fokus isu rakyat,” katanya.

Katanya, pemimpin politik harus berusaha mencari penyelesaian kepada isu rakyat, dan itu yang cuba dimainkan GTA.

“Apa yang berlaku kepada Najib tidak membantu menyelesaikan masalah rakyat. Kita kena fokus selesaikan masalah rakyat, masalah pendidikan, isu inflasi dan sebagainya.

“GTA fokus agenda keperluan rakyat, ini pertempuran politik pada masa akan datang, macam mana parti politik boleh tawar penyelesaian kepada isu rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, anggota exco Pemuda Umno Bastien Onn mengakui pengundi akan menjadikan integriti sebagai asas pilihan mereka pada PRU15 nanti.

Katanya, pengundi sudah membuktikan pilihan mereka itu dalam PRU14 apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) antaranya kerana isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Nilai paling tinggi untuk PRU adalah integriti, apabila integriti (Najib) menjadi kesangsian, akhirnya rakyat memilih untuk tidak mengundi BN (pada PRU14).

“Bagi pemimpin di luar sana, baik kerajaan atau pembangkang harus sedar, selera rakyat Malaysia sekarang adalah integriti.

“Tidak kira jasa banyak mana kalau integriti menjadi kesangsian ia menjadi titik tolak dan kata pemutus pengundi. Itulah politik rakyat Malaysia,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Segamat berkata hukuman ke atas Najib membuktikan Umno tidak campur tangan dalam urusan mahkamah biarpun perdana menteri sekarang dari Umno.

Bagaimanapun beliau mengingatkan majoriti ahli Umno memilih untuk percaya Najib tidak diberikan pengadilan sewajarnya apabila Mahkamah Persekutuan enggan menangguhkan kes seperti diminta peguam baharu kepada bekas perdana menteri semasa rayuan akhir bulan lepas.

“Rakyat rasa keadilan ditegakkan tapi untuk orang Umno mereka lihat perdana menteri sepatutnya menegur badan kehakiman kerana orang yang nak dibicara itu bekas perdana menteri, dan berhadapan hukuman 12 tahun.

“Apa salahnya benarkan Najib tangguh perbicaraan keputusan rayuan bila beliau menukar peguam.

“Ini pandangan orang Umno… takkan ubah fakta kes iaitu sejumlah RM42 juta dimasukkan ke dalam akaunnya (Najib),” kata Bastien.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya pada 23 Ogos lepas. Mahkamah juga mengekalkan hukuman denda RM210 juta.

Peguam bela Najib yang baharu dilantik untuk mengendalikan rayuan tersebut sebelum itu memohon penangguhan antara tiga hingga empat bulan namun ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Najib juga sedang berhadapan empat perbicaraan lain melibatkan jenayah rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang semuanya ada kaitan dengan 1MDB. – 2 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen