Kejatuhan Rosmah Mansor


Raevathi Supramaniam

Selepas menikmati hidup mewah apabila suaminya Najib Razak menjadi perdana menteri pada 2009, kegiatan terlarang Rosmah Mansor terdedah berikutan kejatuhan Barisan Nasional selepas pilihan raya umum 2018. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 1 September 2022.

ROSMAH Mansor, bekas wanita pertama Malaysia, awalnya datang dari kehidupan yang sederhana tetapi kemudian menjadi salah seorang personaliti paling kontroversi di negara ini.

Rosmah, 70, dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 1951. Ibu bapanya merupakan guru.

Pada 1987, beliau berkahwin dengan Najib Razak, yang merupakan menteri belia dan sukan ketika itu. Ini merupakan perkahwinan kedua untuk kedua-dua mereka. Mereka mempunyai dua anak, Nooryana Najib dan Ashman Najib serta lima anak tiri daripada perkahwinan awal mereka.

Bagaimanapun, namanya hanya mula menjadi tajuk utama apabila Najib menjadi perdana menteri pada 2009.

The Wall Street Journal melaporkan bagaimana beliau membelanjakan sekurang-kurangnya AS$6 juta (RM26.9 juta), antara 2008 dan 2015 untuk membeli-belah di London, New York dan tempat lain.

Beliau juga telah membelanjakan jutaan ringgit untuk beg tangan mewah dari Hermes, yang dikatakan menelan kos keseluruhan AS$13Juta (RM58.2 juta).

Perbelanjaannya yang paling kontroversi bagaimanapun adalah sebentuk berlian merah jambu yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa pun. Ia dikatakan bernilai AS$27 juta (RM121 juta) dan daripada pereka barang kemas Amerika Lorraine Schwartz.

Ketika ditanya bagaimana beliau mampu membeli barangan mewah itu sedangkan suaminya seorang penjawat awam, Rosmah berkata ia adalah hasil menabung sejak kecil, yang mana kenyataan itu sekali lagi mendapat kritikan daripada orang ramai dan melahirkan pelbagai meme dan karikatur dirinya.

Rosmah, yang mempunyai dandanan rambut sama dengan Imelda Marcos iaitu bekas wanita pertama Filipina yang turut berkongsi gaya hidup yang sama, dan suaminya Ferdinand Marcos juga jatuh ke dalam kehinaan, mengundang kemarahan orang ramai pada 2015 apabila mengeluh betapa mahal untuk mendapatkan gaya rambutnya.

Katanya berikutan kenaikan harga minyak, beliau terpaksa membelanjakan RM1,200 untuk panggilan ke rumah oleh jurugaya bagi mewarnakan rambutnya yang besar, dan RM500 untuk sesuaikan dengan pakaiannya.

Pada masa itu, kadar gaji minimum negara hanya RM900.

Bagaimana kejatuhan bermula 

Kehidupan mewah Rosmah terhenti pada 2018 selepas Barisan Nasional dan kemudian perdana menteri Najib kalah dalam pilihan raya umum ke-14 dan Pakatan Harapan berkuasa.

Ini menyaksikan Najib didakwa dengan pelbagai tuduhan rasuah berhubung dana kekayaan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan anak syarikatnya SRC International.

Semasa siasatan ke atas 1MDB, gaya hidup mewah pasangan itu terbongkar.

Dalam serbuan pada 17 Mei 2018 di pangsapuri mewah Pavilion Residences, polis merampas 284 kotak mengandungi beg tangan mewah dan 72 beg berisi barang kemas, wang tunai pelbagai denominasi, jam tangan dan barangan berharga lain.

Pasangan itu kemudiannya mendakwa bahawa banyak barangan itu adalah hadiah, berdasarkan status Najib sebagai PM.

Minggu lalu, selepas empat tahun rayuan, Mahkamah Persekutuan mendapati Najib bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun. Beliau kini menjalani hukuman di penjara Kajang.

Ketika suaminya menghadapi perbicaraan rasuahnya sendiri, Rosmah turut berdepan situasi sama.

Beliau didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin bagi mendapatkan bantuan mendapatkan kontrak kerajaan RM1.25 bilion untuk melengkapkan sekolah luar bandar di Sarawak dengan peralatan solar antara Mac dan April 2016.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menerima RM1.5 juta dan RM5 juta di kediaman rasmi PM dan kemudian di kediaman peribadinya di Jalan Langgak Duta di Kuala Lumpur antara Disember 2016 dan September 2017.

Selepas hampir dua tahun dibicarakan dan 25 saksi, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menyampaikan keputusan bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta, dengan tambahan 30 tahun penjara jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, hakim membenarkannya penangguhan hukuman. Beliau kini diikat jamin RM2 juta. – 1 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen