.jpg)
SAYA gembira melihat orang ramai berpusu-pusu menyambut kemerdekaan tahun ini. Barangkali kebanyakan rakyat merindui suasana menyambut kemerdekaan setelah dua tahun acara seperti ini mustahil diadakan.
Ada juga sebahagian rakyat yang berkemungkinan meraikan dan menghargai sistem keadilan negara yang telah memenjarakan bekas perdana menteri yang mencuri wang rakyat.
Acara dan ‘ritual’ kemerdekaan yang dilaksanakan di setiap negeri adalah sesuatu yang baik, ia manifestasi rasa bersyukur kita kerana tanah yang dipijak bukan lagi milik orang.
Apa yang kita perlu perbaiki adalah pengisian kemerdekaan yang perlu berlangsung sepanjang tahun. Kita perlu beralih daripada ‘bebas penjajah’ kepada ‘menjadikan negara kita lebih maju dan berdaya saing’.
Penjajah sudah lama meninggalkan kita, tetapi adakah minda dan raga kita benar-benar bebas dari penjajahan?
Penjajahan ahli politik tamak
Andainya kita bertanya kepada orang awam berkenaan situasi politik negara, saya jamin kebanyakan mereka akan meluahkan rasa menyampah dengan permainan perebutan kuasa tanpa melalui pilihan raya yang berlangsung sejak 2020.
Keadaan ini amat buruk buat demokrasi negara, sekiranya ‘political fatigue’ dalam kalangan rakyat tidak dipulihkan, kerajaan tanpa mandat rakyat akan berkuasa.
Semalam saya membaca laporan ucapan Rafizi Ramli berkaitan masa hadapan negara yang semakin suram – dia berhujah minyak dan sumber asli negara semakin berkurang, isu PTPTN sudah mencecah RM50 bilion, dan Malaysia perlu mencari industri yang negara kita mampu berdaya saing.
Walaupun saya bukan peminat Rafizi, hujah-hujah yang dinyatakan Rafizi ada benarnya.
Di rantau Asia Tenggara, kita semakin ketinggalan dengan negara-negara jiran yang semakin mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka. Pelabur-pelabur asing juga seperti lebih memilih Indonesia – sedangkan sumber manusia yang ada di Malaysia boleh dikatakan antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara.
Keadaan ini berlaku kerana masalah ketidakstabilan politik yang melahirkan dasar-dasar yang tidak jelas. Selagi kita tidak merdeka daripada ahli-ahli politik yang mahu menebalkan dompet mereka, negara kita akan terus bergerak ke belakang.
Akar kepada permasalahan ini sudah tentu rasuah dan pecah amanah.
Ketika ini ada beberapa ahli politik daripada pelbagai parti sedang melalui proses perbicaraan mahkamah, saya harap jika mereka benar-benar bersalah, mereka akan menemani Najib di penjara. Ini akan jadi pengajaran kepada ahli-ahli politik supaya tidak pecah amanah dan mengambil rasuah.
Untuk memerdekakan kemerdekaan, rakyat Malaysia harus kritikal terhadap wakil-wakil rakyat yang ada. Sekiranya ada mana-mana ahli politik yang terpalit dengan rasuah atau pecah amanah, mereka seharusnya ditolak.
Malangnya, masih ada segelintir yang terjajah mindanya apabila mudah termakan dengan sandiwara koruptor sehingga mereka simpati kepada mereka yang telah mengambil wang rakyat.
Ini terkait rapat dengan sikap feudal yang melekat pada masyarakat kita – ramai yang melihat ahli-ahli politik ini sebagai ‘tuan’ mereka – sedangkan hakikatnya rakyat yang memilih dan membayar cukai adalah tuan kepada wakil-wakil rakyat. Kita perlu merdeka daripada semangat feudalisme ini.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebagai sebuah masyarakat yang merdeka, kita perlu kritikal dengan calon-calon yang bertanding. Hal paling asas yang boleh dilakukan adalah menyemak ‘track record’ calon dan sentiasa menyemak fakta yang diungkapkan ketika kempen.
Kita tidak sepatutnya mudah terpedaya dengan propaganda lapuk yang sering dilaungkan oleh parti-parti politik. Terutamanya jika ia berkaitan bangsa, agama, umur, kebersamaan – semua ini tidak ada maknanya jika sekadar subur di bibir.
Politik adalah sebuah penceritaan (storytelling), seandainya ahli-ahli politik tidak menerangkan secara terperinci berkaitan hal-hal yang ingin dicapai, kemungkinan besar dia sedang menipu.
Ahli politik yang berkualiti dan ikhlas mampu menerangkan perancangan dan hasil yang diharapkan – mereka mampu menjawab apa jua persoalan yang diajukan oleh rakyat.
Proses memulihkan negara daripada kebobrokan yang telah lama berlaku akan mengambil masa. Siapa sahaja yang akan menjadi kerajaan selepas PRU15, sudah tentu tidak akan menyelesaikan masalah ini secara terus.
Semua ini adalah proses dan akan mengambil masa – ahli politik yang berjanji akan menyelesaikan semua masalah apabila menang adalah pembohong.
Nasihat saya, parti yang memerintah kelak harus mempunyai ‘political will’ untuk mengambil keputusan-keputusan yang tidak popular – dengan bantuan teknokrat berprestasi tinggi – bagi memulihkan negara. – 1 September, 2022.
* Rahman Imuda, pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen