.jpg)
PERASAN atau tidak, Pemuda PAS langsung tidak berbunyi sewaktu penganjuran ‘Rainforest World Music Festival’ pada bulan Jun 2022 di Sarawak.
Adakah mereka berpandangan bahawa festival muzik ini adalah jauh lebih bersopan dan beradab berbanding dengan konsert ‘Billie Eilish’?
Ataupun kerana kebetulan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri Sarawak merupakan sekutu Perikatan Nasional yang penting?
Sewaktu PKP dilaksanakan antara banyak industri yang terkesan industri pelancongan dan penganjuran acara merupakan sektor yang paling terjejas teruk.
Tatkala kedua industri ini baru hendak menarik nafas lega, kerajaan mesti dengan tegas dan jelas menolak pandangan jumud Pemuda PAS berkaitan perkara ini.
Bukan itu sahaja, kerajaan wajar membentangkan garis panduan yang konsisten serta pertahankan keputusan kebenaran penganjuran yang telah pun diluluskan.
Alasan bahawa ini akan menimbulkan kelaknatan atau bakal membawa kerosakan akhlak adalah sesuatu yang mengarut.
Sedangkan Arab Saudi, negara yang mengamalkan sistem undang-undang syariah juga membenarkan penganjuran konsert.
Kita faham bahawa budaya, moral dan adat resam harus diambil kira dalam kita membenarkan sebarang penganjuran konsert; itu tidak dipersoalkan.
Cuma janganlah kita dengan mudah membenarkan golongan ekstrem populis yang cetek ini membelenggu atau mempengaruhi dasar kerajaan.
Industri pelancongan dan penganjuran acara mewujudkan banyak peluang ekonomi dan pekerjaan; wajar kerajaan menjadi pemudahcara sambil mengimbangi keperluan dalam menjaga adab dan akhlak masyarakat.
Tetapkan garis panduan yang konsisten, pertahankan keputusan kelulusan dan nyatakan pendirian yang jelas.
Kementerian pelancongan, khususnya YB Menteri wajar nyatakan pendirian kerajaan mengenai perkara ini. – 1 September, 2022.
* Zaidel Baharuddin, Naib Presiden Muda
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen