KERAJAAN Nigeria mengesahkan 110 pelajar perempuan hilang selepas pengganas militan Boko Haram menyerang sebuah sekolah di timur laut negara itu.
Pengumuman dibuat selepas beberapa hari kerajaan mendiamkan diri mengenai nasib tebusan.
“Kerajaan mengesahkan 110 pelajar Kolej Sains dan Teknikal Kerajaan di Dapchi, di Yobe hilang selepas militan dipercayai Boko Haram menceroboh sekolah mereka Isnin lalu,” kata Kementerian Penerangan dalam satu kenyataan.
Kementerian berkata kenyataan itu dibuat selepas pihak berkuasa mendapati 110 daripada 906 pelajar hilang.
Penculikan itu menimbulkan persoalan mengenai dakwaan berulang kali tentera bahawa pengganas itu di ambang kekalahan, selepas hampir sembilan tahun bertempur.
Ia juga mengimbas kembali memori penculikan lebih 200 pelajar perempuan dari Chibok pada 2014 yang mengejutkan dunia.
Malam Isnin lalu, pelajar yang ketakutan melarikan diri dari sekolah asrama apabila militan bersenjata berat dengan berpakaian tentera dan serban menyerang bandar itu, sambil melaungkan “Allahu Akbar”.
Pihak berkuasa pada awalnya menafikan pelajar diculik.
Jumaat lalu, Presiden Muhammadu Buhari meminta maaf kepada keluarga mangsa, berkata: “Ini bencana negara. Kami meminta maaf kerana ia berlaku.” – AFP, 26 Februari, 2018.
Komen