KUMPULAN yang bersimpati dengan Najib Razak sedang berkempen untuk memohon pengampunan diraja bagi pihaknya. Kempen ini pastinya mengambil contoh yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim pada 2018.
Maka, tidak hairan mengapa kempen ini dimulakan dengan begitu pantas (tidak sampai seminggu Najib dipenjarakan) kerana sudah ada ‘precedent’ atau ‘duluan’ kes.
Untuk menjual naratif ini, kumpulan Najib juga mengarang ‘ayat’ dan ‘surah’ yang muluk mengenai jasa Najib kepada negara seperti kejayaan projek ECRL, LRT, TRX termasuk BRIM dan lain-lain.
Tujuan utama semua surah ini ditulis adalah untuk menambah sokongan dan simpati rakyat ke atas Najib, Bapa Pencuri 1 Malaysia.
Bagi rakan-rakan politik kleptokrat, mereka berkumpul beramai-ramai di dewan untuk menunjukkan kepada rakyat semua ahli Umno masih menyokong dan setia di belakang Najib. Kisah sayu menjadi latar kempen membela “bapa kleptokrat” ini.
Dalam strategi yang lain, mereka menyerang Dr Mahathir Mohamad dan Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai nyanyuk dan tidak lagi relevan.
Begitulah kempen Najib ini dicorakkan.
Sebelum mengulas tentang ‘jasa’ Najib yang sedang dijaja ini, elok kita sorot ke belakang untuk memahami masalah dan kesan yang dibawa oleh skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ini.
Gempa 1MDB dan projek mega sakau
1MDB ini ibarat sebuah gempa bumi. Kesan magnitud gegaran 1MDB ini dirasai didunia. Jejak wang 1MDB ini sampai ke Amerika Syarikat, masuk ke negara Eropah serta dikesan di beberapa negara di Asia Barat malah di Asia Tenggara sendiri seperti Singapura dan Thailand.
Mungkin, jika dinisbahkan gegaran gempa 1MDB dengan gegaran gempa bumi semula jadi, ia melebihi 7 skala Richter yang kesannya boleh menjadi tsunami yang besar.
Projek mega Najib seperti ECRL sebagai contoh, bukanlah suatu perkara yang begitu hebat sebaliknya ia satu projek ‘sakau’ yang bertopengkan pembangunan untuk rakyat.
Ini terbukti apabila Najib mengumumkan projek mega ini pada kos RM65.5 billion yang sebenarnya boleh dijimatkan kepada RM44 bilion.
Ia terbukti, ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau mengarahkan Daim Zainudin untuk berunding semula dan ia berhasil.
Tetapi, selepas PN/BN merampas kerajaan, kos itu naik semula kepada RM50 billion. Mereka berhujah, kos RM50 bilion ini lebih murah dari kos asal iaitu RM65.5 bilion.
Ini lucu kerana mereka membandingkan dengan kos Najib, bukan kos terakhir iaitu RM40 bilion.
Begitu juga dengan projek ‘sakau’ Najib seperti TRX yang menjadi masalah kepada Tabung Haji. Agensi yang mengurus kebajikan umat Islam yang ingin ke Mekah digunakan untuk membeli salah satu bidang tanah projek TRX ini.
Projek-projek sakau ini menjadi masalah kerana secara tidak langsung ia terkait dengan kesan gegaran gempa 1MDB. Kesannya sama ada untuk mendanai kelangsungan projek itu atau digunakan untuk membayar hutang-hutang 1MDB yang dilaporkan oleh Kementerian Kewangan sebanyak RM38.8 bilion hingga tahun 2039.
Demikianlah besarnya gegaran gempa 1MDB ini. Dengan hutang-hutang 1MDB ini sahaja, ia melenyapkan semua peruntukan kewangan untuk semua projek-projek Najib itu.
Jadi mana jasa Najib itu?
BR1M jasa atau malapetaka?
Sebelum kita bercakap tentang berapa banyak rakyat dapat daripada BR1M, baik kita memahami terlebih dahulu bagaimana idea memberi wang kepada rakyat ini boleh muncul kerana ia belum pernah menjadi amalan dan dasar kerajaan sebelum era Najib.
Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mula dirangka oleh beliau pada 2012 sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah di Malaysia.
BR1M juga merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.
Dasar ini pada permukaannya nampak murni dan baik, tetapi cuba kita gali dan bertanya – adakah dengan memberi wang tunai secara percuma adalah jalan terbaik menyelesaikan masalah kemiskinan?
Silap mata Najib
Di sinilah silap mata Najib. Dari segi ekosistem BR1M ini, ia tidak mapan atau sustainable kerana apabila sebuah kerajaan mengamalkan dasar memberi wang tunai secara percuma, setiap tahun kos ini akan meningkat sedangkan masalah utama rakyat bukan wang tunai tetapi isu yang lebih mendasarkan iaitu kemiskinan.
Masalah kemiskinan adalah persoalan mengenai akses kepada peluang pekerjaan, kadar upah dan aktiviti perniagaan. Hal-hal inilah yang akan membantu orang miskin untuk keluar dari jerat kemiskinan.
Selain daripada itu, apabila kita kaji masalah kemiskinan, ia juga berkait rapat dengan masalah sikap manusia, teknologi dan taraf pendidikan rakyat.
Jika orang yang malas berusaha diberikan wang secara percuma setiap masa, adakah itu akan menyebabkan mereka menjadi rajin berusaha hingga dapat menyelesaikan masalah hidup mereka dalam tempoh jangka masa panjang? Tidak.
Di sinilah kesilapan Najib apabila memilih jalan pintas untuk mengelak dari menyelesaikan masalah kemiskinan, masalah sikap dan pendidikan rakyat dengan cara memberi wang tunai secara percuma.
Ini jugalah yang membezakan usaha Najib dengan azam Dr Mahathir yang mahu rakyat rajin berusaha, mengambil peluang yang disediakan kerajaan, bersaing dengan berani dengan pelbagai bangsa, bukan menadah tangan mengharap wang diberi dari kerajaan tanpa apa-apa usaha.
Jika kita semak, sehingga hari ini, adakah jumlah penerima BR1M semakin berkurangan? Tidak.
Adakah jumlah peruntukan wang BR1M semakin berkurangan secara beransur-ansur? Juga tidak.
Justeru, persoalannya, berapa lama lagi kerajaan mampu menanggung kos menerusi dasar memberi wang tunai secara percuma ini?
Semua persoalan ini akan dapat menjelaskan adakah benar Najib ini banyak jasanya kepada kita.
Jangan kita lupa, di sinilah bermulanya idea ‘Cash is King’. Untuk terus memberi wang kepada rakyat agar sokongan politik berkekalan, 1MDB muncul sebagai entiti bagi Najib mengumpul wang. Inilah dasar yang hari ini menjahanamkan negara.
Justeru, gembar gembur ‘jasa’ Najib ini sebenarnya adalah malapetaka besar buat negara.
Buat semua rakyat Malaysia, mari kita merdekakan diri kita dari pemimpin yang korup.
Selamat Hari Merdeka ke-65. – 31 Ogos, 2022.
* Mahdzir Ibrahim, ahli Jawatankuasa Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Pusat.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen