Kanak-kanak maut akibat serangan kimia di Syria


Kanak-kanak di kampung Al-Shifuniyah di Ghouta Timur mengalami sesak nafas selepas serangan kimia dilancarkan di wilayah dikuasai pihak penentang. – Gambar AFP, 26 Februari, 2018.

SEORANG kanak-kanak meninggal dunia dan sekurang-kurangnya 13 lagi mengalami kesukaran bernafas selepas serangan kimia dilancarkan di wilayah dikuasai pihak penentang, kata sumber perubatan dan badan pemerhati.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata seramai 14 penduduk awam sukar bernafas selepas pesawat juang rejim menyerang kampung Al-Shifuniyah di Ghouta Timur.

Ketua SOHR Rami Abdel Rahman yang bergantung kepada sumber di Syria untuk mendapatkan laporan berkata seorang kanak-kanak maut dan seorang wanita dalam keadaan kritikal.

Seorang doktor yang merawat mangsa, Yaqub memberitahu beliau mengesyaki “senjata kimia, kemungkinan serangan gas klorin”.

Katanya, kanak-kanak tiga tahun itu meninggal dunia kerana lemas.

“Kebanyakan pesakit mempunyai bau klorin pada pakaian dan kulit mereka.

“Ramai sukar bernafas dan mengalami sakit kulit dan mata,” katanya. – AFP, 26 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen