TURKI kini berusaha untuk mengekstradisi pemimpin tentera Parti Kesatuan Demokratik Syria Kurdish (PYD), Saleh Muslim, yang ditahan di Prague, Republik Czech pada Sabtu, lapor agensi berita China Xinhua.
Prague menahan Saleh atas permintaan Ankara selepas Turki mengeluarkan “notis merah” terhadapnya, lapor agensi berita rasmi Anadolu pada Ahad.
Kementerian Dalam Negeri Turki menawarkan ganjaran sebanyak AS$1 juta kepada pemberi maklumat sehingga membawa kepada penahanan Saleh Muslim, yang disenarai sebagai pengganas paling dikehendaki.
Pada awal bulan ini, waran dihantar untuk penangkapan beliau ke Prague, menurut pegawai keselamatan.
Kementerian Keadilan Turki memulakan proses pentadbiran untuk mengekstradisi pemimpin PYD itu selepas pihak berkuasa Czech meminta Turki menyerahkan dokumen yang diperlukan.
Ankara menganggap PYD adalah sekutu Parti Pekerja Kurdistan (PKK) Syria yang diharamkan dan disenarai sebagai organisasi pengganas oleh Turki.
Saleh Muslim merupakan antara 44 penjenayah dalam senarai individu paling dikehendaki Turki, termasuk pemimpin dan tokoh kanan kumpulan yang dianggap sebagai pengganas oleh Ankara. – Bernama, 26 Februari, 2018.
Komen