Dahulukan mata pencarian rakyat, bukan pilihan raya, kata Guan Eng


Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata, daripada menumpukan kepada mata pencarian rakyat, Umno dan BN sebaliknya mendakwa senario politik yang tidak stabil telah meletakkan ekonomi negara dalam keadaan merosot. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2022.

PILIHAN raya umum tidak patut diadakan tahun ini bagi mengelak pembentangan Bajet 2023 dijadikan sebagai belanjawan pilihan raya, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Katanya, Bajet 2023 tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi negara tetapi direka untuk meningkatkan prospek kemenangan pilihan raya bagi Perdana Menteri Ismail Sabri dan partinya Umno sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat. 

“Dengan tambahan RM25 bilion pembayaran dividen daripada Petronas kepada kerajaan, menjadikan jumlah RM50 bilion untuk 2022, wujud kebimbangan bahawa RM50 bilion dana awam ini akan digunakan bukan untuk kepentingan rakyat, tetapi dijolikan untuk kepentingan politik,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri ketika ini menerima tekanan daripada Umno yang mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan.

Pada taklimat khas Umno di Kuala Lumpur baru-baru ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata PRU15 perlu diadakan sekarang kerana rakyat mahukan kerajaan yang sah yang tidak disatukan melalui skim politik.

Terdapat keperluan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat, katanya.

Tambah Zahid, itu adalah suara dan keputusan yang dibuat secara kolektif Majlis Tertinggi Umno.

Mengulas lanjut, Lim dalam kenyataannya hari ini berkata perpaduan negara, ekonomi dan mata pencarian rakyat seharusnya jadi keutamaan ketika ini.

Menurutnya lagi, krisis ekonomi semasa akan menjadi isu utama rakyat, malah lebih besar daripada pemenjaraan bersejarah bekas perdana menteri Najib Razak kerana salah guna kuasa.

“Dengan tunduk terhadap tekanan Umno untuk mengadakan pilihan raya umum awal, Ismail tidak mengendahkan kedudukan berbahaya pemulihan ekonomi negara ketika menghadapi kenaikan harga dan inflasi, kekurangan tenaga buruh yang teruk, kemerosotan nilai ringgit, tadbir urus yang lemah, rasuah yang berleluasa dan kemelesetan ekonomi dunia yang akan berlaku,” katanya.

Ahli Parlimen Baga itu berkata, daripada menumpukan kepada mata pencarian rakyat, Zahid dan Barisan Nasional sebaliknya mendakwa senario politik yang tidak stabil telah meletakkan ekonomi negara dalam keadaan merosot, sekali gus memerlukan pilihan raya umum yang awal. 

“Walaupun Umno betul bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan merosot, Umnolah yang menggugat kestabilan perdana menteri mereka sendiri dengan ancaman berulang kali untuk memanggil pilihan raya umum awal apabila perhatian penuh harus diberikan ke arah menyelesaikan masalah ekonomi semasa,” katanya. – 31 Ogos, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen